Tun Mohammad Ghazali Shafie: Negarawan Ulung

(*Sebahagian besar maklumat dalam artikel ini adalah daripada rakaman Sejarah Lisan Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafie dengan Arkib Negara pada 29 Julai 1999)

Pada 24 Januari 2011 yang lalu genaplah setahun pemergian  negarawan yang amat berjasa kepada negara. Beliau ialah Allahyarham Tun Mohammad Ghazali bin Shafie, bekas Menteri Kabinet yang telah berkhidmat di bawah empat orang Perdana Menteri iaitu dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra hingga ke era Tun Dr. Mahathir Mohammad.  Membuka tirai 2010 negara telah menyaksikan dua bekas Menteri Kabinet yang pernah berbakti kepada negara iaitu Allahyarham Tun Fatimah Hashim dan dikuti pula oleh Tun Ghazali Shafie, kedua-duanya merupakan antara arkitek pembangunan negara yang amat disegani terutama ketika negara  diambang merdeka.

Tun Mohamad Ghazali dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 1922 iaitu di negeri kelahiran ibunya, yang bernama Masusah binti Haji Mohd. Amin. Datuknya, Haji Mohd. Amin adalah Orang Kaya Setia Wangsa iaitu Orang Besar Berlapan, orang besar bergelar Pahang.  Sementara bapanya Shafie bin Deli, datuk beliau berasal dari Deli, Sumatera dan berhijrah ke Padang Lebar, Batu Kikir, Negeri Sembilan.  Bapanya bekerja dengan keretapi Tanah Melayu dan kemudian bertukar kerja sebagai pemeriksa jentik-jentik (Mosquito Destruction Committee atau MDC) bagi pencegahan malaria atau penguatkuasa pencegahan malaria, dan menetap di Kuala Lipis selepas berkahwin dengan ibunya.

Memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Lipis pada tahun 1929, kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Bentong pada 1930.  Semasa di Bentong, beliau tinggal bersama bapa saudaranya bernama Zainal Abidin yang juga berkawan rapat dengan Ibrahim Yaakub, pelopor Kesatuan Melayu Muda (KMM). Semasa di Raub juga beliau telah mula didedahkan dengan maklumat mengenai nasionalisme Melayu kerana sering mengikuti perbincangan pakciknya dengan Ibrahim Yaakub. Beliau juga dilatih oleh ahli-ahli KMM untuk berpidato dan amat meminatinya. Pergaulannya dengan ahli-ahli KMM juga membuatkan beliau mula mengenali nasionalisme Melayu dalam usia yang muda serta memahami erti penjajahan dan kebebasan untuk bangsa dan negara.

Apabila memasuki darjah tujuh, beliau berpindah ke Sekolah Inggeris Raub dan tinggal di asrama, iaitu pada tahun 1932. Setiap kali cuti sekolah Tun  Ghazali akan pulang ke Kuala Lipis dengan menaiki bas dari Jerantut. Semasa berulang alik dengan bas, beliau mula berkenalan dengan seorang kawan yang berasal dari Pekan dan bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), pelajar ini akan turun keretapi yang dinaikinya dari Kuala Kangsar di Jerantut dan sama-sama menaiki bas ke kampung masing-masing. Di sini mereka mula berkawan rapat. Kawan beliau ini ialah Abdul Razak bin Hussein. Persahabatan keduanya telah bermula sejak dari kecil lagi. Tun Ghazali menceritakan bagaimana beliau dan Allahyarham Tun Razak bermain bersama-sama ketika cuti sekolah, kerana bapa Tun Razak yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di beberapa daerah di Pahang. Semasa zaman Jepun Tun Razak sering bermalam dan bersama tidur di atas lantai beralaskan tikar dirumahnya. Kedua tokoh ini pernah bertugas bersama di pejabat pentadbiran Jepun di Temerloh sebelum Tun Ghazali dipindahkan ke pejabat propaganda Jepun di Kuala Lipis. Banyak kegiatan yang dilakukan bersama semasa zaman Jepun oleh keduanya. Persahabatan ini kekal hinggalah mereka bersama-sama dalam satu barisan pentadbiran Negara.

Pelbagai pengalaman semasa kecil, belajar dan bekerja semasa zaman pemerintahan Jepun. Beberapa pengalaman dan pengajaran menarik juga diceritakan semasa pemerintahan Jepun di mana beliau telah dihantar ke sekolah Jepun di Melaka bersama Allahyarham Tun Ghaffar Baba dan Tun Mohammad Yaakub (Bekas Menteri Besar Kelantan). Di sekolah Jepun mereka dilatih untuk menjadi pengajar di sekolah-sekolah Jepun. Sebelum Jepun menawan Tanah Melayu, iaitu di awal 1941 Tun Ghazali telah menyertai pasukan Malayan Volunteer Force,  dan telah dihantar ke Pengkalan Chepa.  Menurut beliau tujuan menyertai pasukan ini adalah untuk mengkaji strategi pasukan British dalam persiapan menentang kemaraan tentera Jepun. Pada pandangan dan penelitian beliau,  strategi British tidak akan berkesan dan tanggapan itu terbukti tepat apabila Jepun mula memasuki Tanah Melayu pada tahun tersebut dan seterusnya seluruh Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun dalam masa yang singkat.

Semasa belajar di sekolah Jepun, beliau dengan mudah dapat menguasai bahasa dan lain-lain mata pelajaran yang diajar dan kemudian telah dihantar untuk menjadi guru di Kuala Lipis. Selain mengajar, kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk mempelajari cara Jepun menjalankan propaganda, taktik, teknik dan strategi pentadbiran tentera Jepun serta mendapat banyak maklumat daripada pelbagai saluran media disebabkan beliau mahir dan fasih membaca bahasa Jepun. Secara diam-diam dalam tahun 1944 -1945 beliau turut serta dalam Force 136 bersama Yeop Mahidin disamping menjadi pegawai askar wataniah. Beliau turut berkhidmat dalam 757 field Security Section' antara tahun 1945 – 1946.

Menyentuh mengenai pendidikan, beliau menceritakan bagaimana sebelum perang meletus iaitu pada 1941, beliau mendapat biasiswa daripada kerajaan Pahang untuk ke Raffles College di Singapura untuk belajar dalam bidang perubatan, tetapi beliau menolaknya, memandangkan beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan sains yang cukup walaupun mendapat gred satu dalam peperiksaan Senior Cambridge. Beliau juga memikirkan sekiranya menjadi doktor hanya dapat membantu seorang pesakit sahaja dalam satu masa sebaliknya jika berada dalam Civil Service dapat membantu orang ramai di luar bandar terutama orang Melayu. Jadi beliau mengambil keputusan untuk cuba memohon memasuki bidang pentadbiran di Raffles College, walaupun ketika itu untuk memasuki bidang pentadbiran mesti masuk ke MCKK terlebih dahulu selama setahun dan kemudian baru boleh memohon ke Raffles College. Disebabkan keputusan Senior Camberidge yang baik beliau terus diterima ke kolej berkenaan tanpa perlu ke MCKK terlebih dahulu. Tambahan pula, minatnya begitu mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat terutamanya anak bangsa sendiri.   Selain daripada itu, menurut beliau lagi seorang pegawai kerajaan pada zaman British, adalah juga juga seorang ahli politik, yang akan terlibat dengan secara langsung dalam pembangunan ekonomi dan sosial serta mewakili rakyat dalam sistem pentadbiran ketika itu. Sistem ini kemudian diubah apabila negara mencapai kemerdekaan, selepas merdeka kedua kerjaya ini telah dipisahkan kerana negara sudah mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri di mana seorang ahli politik akan bersuara di dalam dewan-dewan perwakilan yang dipilih rakyat dan seorang pentadbir pula menjalankan tugas pentadbiran dan melaksanakan rancangan pembangunan  negara.

 

Setelah tamat perang dunia kedua, Tun Ghazali mula memasuki perkhidmatan kerajaan dan ditugaskan sebagai Penolong Pegawai Daerah, Kuala Lipis. Sepanjang perkhidmatan, beliau sempat dua kali keluar negara untuk melanjutkan pengajian. Kali pertama Tun Ghazali melanjutkan pelajaran ke luar negara pada tahun 1948-1951 iaitu ke University College of Wales, Aberystwth dengan mengambil jurusan undang-undang, Beliau memilih untuk mengkaji Ancient Wales Law' dengan tujuan untuk membuat perbandingan mengenai undang-undang yang terdapat di sana dengan undang-undang lain. Beliau adalah seorang pelajar yang aktif dan di pilih mewakili universiti di National Union of Students Council, Great Britain. Beliau juga aktif dalam Malay Society of Great Britain dan bersama beberapa kawan dari Malaya dan Singapura menubuhkan Malayan Forum.

Kali kedua menyambung pelajaran keluar negara ialah pada 1953 ke Universiti Oxford, tetapi hanya sempat berada di sana selama satu bulan apabila merasakan pengajian di sana yang beliau sifatkan sebagai ‘very colonia'l. Beliau kemudian memohon kepada Tunku Abdul Rahman untuk bertukar ke London School of Economic untuk tempoh pengajian selama satu tahun, tetapi oleh kerana beliau dianugerahkan biasiswa untuk dua tahun, bagi tahun kedua beliau telah memilih untuk belajar dan mengajar di beberapa institusi luar negara seperti Institute of Commonwealth, Foreign Office London, United Nation dan ke India.

Sekembalinya ke tanah air, beliau ditugaskan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Selangor seterusnya ditukarkan ke Negeri Sembilan  sebagai Pemangku Setiausaha Kerajaan.  Antara tahun 1955 – 1957 beliau banyak bertugas di luar negara termasuklah di Pejabat Pesuruhjaya di London, kemudian ke pejabat Wakil Tetap Bangsa-bangsa Bersatu, Pesuruhjaya Tinggi British di New Delhi, India. Beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu ke India di mana beliau kemudiannya bertanggungjawab menubuhkan Suruhanjaya Tinggi Malaya di New Delhi, India.

Selepas berkhidmat di luar negara beliau ditempatkan pula di Kementerian Luar sebagai Timbalan Ketua Setiausaha kemudian sebagai Pemangku  Ketua Setiausaha bedasarkan pengalaman luasnya dalam hal ehwal luar negara. Pada tahun 1960 dilantik sebagai Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar, jawatan ini kemudian dikenal dengan nama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri. Tun Ghazali adalah tokoh yang banyak terlibat dengan sejarah penubuhan Malaysia, beliau merupakan orang yang banyak berperanan dan menyumbangkan tenaga serta buah fikiran sehingga terbentuknya negara Malaysia ini. Penglibatannya dalam Suruhanjaya Cobbold begitu berkesan sekali dan merupakan tonggak kepada penggubalan dasar-dasar negara disamping para pemimpin negara yang lain ketika itu.

Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan peristiwa yang menggemparkan. Parlimen digantung dan Mageran diwujudkan, beliau adalah antara orang yang bekerja keras bersama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan ahli-ahli Mageran yang lain memulihkan keamanan dalam negeri. Selain dari itu beliau juga adalah salah seorang ahli dalam Majlis Perundingan Kebangsaan.

Bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai kerajaan pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai Senator dan diberi jawatan dalam Kabinet sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas. Pada tahun 1972 beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen bagi kawasan Lipis dan memenanginya. Beliau kemudian meneruskan tugas sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas dan Menteri Penerangan. Pada pilihanraya 1974, beliau menang tanpa bertanding dan selepas itu bertukar potfolio kepada Menteri Dalam Negeri, hinggalah pada 1981 dilantik pula sebagai Menteri Luar Negeri sehingga bersara pada 1984.

Tun Ghazali banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran ke arah penubuhan ASEAN, beliau mempunyai keistimewaan dan hubungan yang rapat dengan kesemua pemimpin-pemimpin ASEAN secara peribadi. Hubungan rapat ini telah menjadikan penubuhan ASEAN dapat dilaksanakan dengan baik, tambahan pula kebijaksanaan beliau sebagai seorang diplomatik yang disegani di dalam dan luar negara. Perbincangan antara negara dalam apa juga keadaan. Mengikut kata beliau, banyak perkara dilakukan melalui rundingan dan perbincangan tidak formal sebelum satu mesyuarat yang sebenar diadakan. Kebijaksaan beliau juga menjadikan proses-proses dan hubungan diplomatik dengan jiran-jiran sekeliling kita menjadi harmonis dan kepentingan budaya, ekonomi, politik dan sosial dapat dimanfaatkan bersama oleh rantau ini. Contohnya perbincangan mengenai konfrantasi dengan Indonesia, masalah telaga minyak di pantai timur semenanjung Malaysia dengan Thailand dan beberapa masalah dengan Filipina, Brunei dapat diselesaikan dengan penuh persaudaraan serantau.

Dalam memperkatakan mengenai keadaan dalam negara, pesan Allahyarham Tun Ghazali Shafie kepada para pemimpin Melayu agar jangan lupa tentang arah perjuangan nasionalisme Melayu serta haluan perjuangan orang Melayu. Para pemimpin perlu terus berjuang meningkatkan status orang Melayu serta membantu mereka untuk bersaing terutama menghadapi dunia tanpa sempadan hari ini. Jika tidak kita akan terus menerus ketinggalan jauh ke belakang.
Image
Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafei (dua dari kiri) bersama-sama ahli Suruhanjaya Cobbold ketika di Jesselton, Sabah.
Image
Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafie (tiga dari kiri) sebagai salah seorang daripada ahli MAGERAN yang ditubuhkan pada 16 Mei 1969 bagi menangani permasalahan negara ekoran daripada tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.
Image
Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafie sedang memberi ceramah Rukun Negara sempena Majlis Mesyuarat Agong Ke-10 Kesatuan Kakitangan Jabatan penerangan pada tahun 1971.
Image
Allahyarham Tun Mohammad Ghazali Shafie ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Menteri Penerangan sedang berbincang dengan Encik Aichi (dua dari kiri) iaitu Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, pada 14 Oktober 1972.
Image