Aminudin Bin Baki

Image

Berasal dari Chemor, Perak. Beliau dilahirkan pada 26 Januari 1926. Zaman persekolahannya bermula dari Sekolah Melayu Chemor dan kemudian diteruskan ke Sekolah Anderson, Ipoh, Perak. Allahyarham melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya Singapura pada tahun 1947. Kecemerlangannya dalam pelajaran melayakkan beliau menerima anugerah Queen's Scholarship dan seterusnya sebagai Queen's Fellow di Universiti London.

Kerjayanya di bidang pendidikan bermula dengan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah Perak dan Sekolah Anderson Ipoh, Perak pada tahun 1951-1952. Pada tahun 1953, Allahyarham menjadi Pensyarah di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Allahyarham juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam Kelang pada tahun 1959.

Penglibatannya dalam pergerakan pelajar bermula sejak tahun 1946 apabila Allahyarham turut bersama menubuhkan Persatuan Pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Ipoh yang kemudian dikembangkan ke seluruh Perak. Lanjutan dari itu, Allahyarham bersama beberapa orang rakannya di Universiti Malaya, Singapura telah menaja penubuhan sebuah gabungan pelajar yang lebih besar iaitu Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung, ringkasnya GPMS. GPMS ditubuhkan secara rasmi dalam bulan Ogos 1948 di Kuala Lumpur dengan Abdul Wahab Ariff menjadi Presidennya yang pertama. Allahyarham turut menerajui GPMS sebagai Presidennya yang kedua dan keempat. Beliau juga telah dilantik menjadi Penasihat GPMS untuk dua penggal iaitu antara tahun 1961-1962 dan tahun 1964-1965.

Ketokohan Allahyarham dalam bidang pendidikan dan pandangan bernasnya dalam beberapa perkara yang bersangkutan dengan bidang tersebut menyebabkan Allahyarham diberi penghormatan untuk menduduki beberapa jawatankuasa menggubal dasar pelajaran. Antaranya ialah Jawatankuasa Bernas 1951, Jawatankuasa Penyata Pelajaran Razak 1955, Jawatankuasa Rahman Talib 1960 dan Jawatankuasa Merancang Pelajaran Tinggi. Allahyarham juga menganggotai Jawatankuasa Penyiasat Mogok Pelajar-pelajar Sultan Idris Training College 1950, Pengerusi Jawatankuasa Menyiasat Kelemahan Murid-murid Melayu dalam memasuki Sekolah Menengah, Jawatankuasa Ejaan Melayu-Indonesia, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Pengerusi Dewan Kebudayaan Tanah Melayu dan anggota Suruhanjaya Fullbright.

Allahyarham telah dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengawal Pelajaran di Negeri Sembilan dan Selangor sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai ketua Penasihat Pelajaran yang kini dikenali dengan Ketua Pengarah Pendidikan. Allahyarham memegang jawatan ini hanya selama empat tahun kerana telah disuratkan pada 24 Disember 1965, Allahyarham kembali ke rahmatullah.

Peranannya dalam mengilhami Sistem Pendidikan Kebangsaan telah menghasilkan banyak kejayaan. Antara jawatankuasa-jawatankuasa yang disertainya telah memperakukan kewibawaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah hinggalah ke universiti dan sekali gus meletakkan Bahasa Melayu pada tarafnya yang hakiki. Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dari sekolah rendah ke sekolah menengah telah juga diatasi melalui syor-syor yang dikemukakan dalam Penyata Aminuddin Baki 1962. Perubahan yang lebih ketara ialah permulaan sijil-sijil peperiksaan Lower Certificate of Education, Senior Cambridge dan seterusnya Higher School if Certificate.

Seluruh tenaga yang digemblengnya dalam mendaulatkan keunggulan dan ketuanan Melayu dalam semua bidang sama ada di bidang pendidikan, sejarah, bahasa dan sebagainya telah dikagumi bukan sahaja oleh masyarakat tempatan malahan di peringkat antarabangsa, UNESCO, mengiktiraf Allahyarham sebagai perancang pelajaran yang terkemuka di Asia. Penulis-penulis tempatan menyifatkan Allahyarham sebagai panglima, pahlawan dan pemikir pendidikan moden.

Allahyarham meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 39 tahun meninggalkan tiga orang putera hasil perkahwinannya dengan Puan Noraini bt Abu Bakar. Walaupun beliau telah lama pergi, jasa-jasa beliau tetap terus dikenang sehingga kini.

Siri Pengkisahan Sejarah dan Majlis Forum "Sehari Mengenang Amiduddin Baki"
9 November 1987
Arkib Negara Malaysia

Image