Perubahan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka

Tujuh puluh enam tahun lalu, pada 31 Januari 1935 satu lakaran sejarah dalam dunia pendidikan guru tercatat apabila sebuah Maktab khas untuk kaum wanita di Tanah Melayu telah dibuka dengan rasminya oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat. Maktab ini dikenali sebagai The Malay Women's Training College atau ringkasnya MWTC. Maktab yang terletak di Durian Daun, Melaka ini ditubuhkan dengan tujuan untuk melatih guru-guru wanita Melayu khususnya bagi pendidikan di sekolah rendah perempuan, aliran Melayu.

Pada peringkat permulaanya seramai 24 orang pelatih yang datang dari seluruh Tanah Melayu telah diterima untuk memulakan sesi pertama pengajian pada 1 Februari 1935. Pelatih-pelatih yang terpilih ini merupakan lulusan Darjah lima Sekolah Melayu yang berjaya melepasi proses temuduga yang dijalankan oleh Bahagian Pelajaran.  Pengambilan pelatih ini dibuat secara menyeluruh iaitu 14 orang dari Negeri-Negeri Selat dan 10 orang dari Negeri-Negeri Melayu. Catatan selengkapnya jumlah penuntut-penuntut yang datang dari tiap-tiap negeri seperti yang dicatatkan dalam rencana tulisan Fatimah bt. Haji Musip, iaitu pelatih kumpulan kedua maktab ini  ialah seperti berikut:

KUMPULAN I
(Dari 1/2/1935 – Nov. 1936)

KUMPULAN II
(Dari 7/1/1937 – 31/10/1938)
Negeri
Jumlah
Jumlah
Pulau Pinang
6 orang
6 orang
Perak
3 orang
3 orang
Selangor
2 orang
2 orang
Negeri Sembilan
2 orang
2 orang
Melaka
5 orang
3 orang
Johor
2 orang
2 orang
Singapura
3 orang
2 orang
Pahang
1 orang
3 orang
Terengganu
-
1 orang
Kelantan
-
1 orang
Jumlah
24 orang
24 orang


Kumpulan pelatih perintis ini menjalani latihan selama dua tahun di bawah seliaan pengetua pertama MWTC, Cik Pardom, iaitu bekas Penyelia Wanita Sekolah-Sekolah Melayu, Negeri-Negeri Selat dan pembantunya Cik M. Lomas. Pada peringkat permulaan ini MTWC beroperasi di blok-blok bangunan lama Hospital Melaka yang diubahsuai oleh kerajaan kolonial British.

Selaras dengan tujuan penubuhan dan kedudukannya sebagai  Maktab khas untuk melatih golongan wanita menjadi guru di Tanah Melayu, kurikulum MWTC berkecenderungan ke arah memberi latihan urusan rumahtangga dan keperluan hidup sehari-hari sebagai seorang suri rumahtangga.  Sukatan pelajaran selama dua tahun ini merupakan ulangkaji semula sukatan pelajaran untuk sekolah perempuan dari darjah satu hingga darjah lima. Mata pelajaran yang di ajar terdiri daripada Kira-kira, Membaca dan menulis Rumi dan Jawi, Karangan, Sejarah, Ilmu Alam Kejadian, Sains Rumahtangga, Kebersihan, Prinsip-Prinsip Pengajaran, Pengetahuan Agama, Nyanyian, Senaman dan Permainan, Lukisan, Jahitan dan Kerja tangan.

Disamping itu bersesuaian dengan persekitaran penempatan bakal guru-guru ini di sekolah-sekolah nanti, mereka dilengkapkan dengan ilmu pengetahun mengayam dengan daun mengkuang, bertenun, mengait dan mengelim. Pada akhir penggal, para pelatih juga di ajar cara mendidik bayi dengan melakukan latihan amali di klinik yang berdekatan dengan maktab. Para pelatih ini diberi latihan bersesuaian dengan dasar untuk mengekal dan menyesuaikan anak-anak Melayu di kampung dengan alam sekitar kekampungannya. Justeru para guru ini diberi latihan untuk mengajar anak-anak perempuan supaya mereka menjadi:
"….bakal isteri dan pasangan yang berpelajaran. Dengan adanya matapelajaran memasak, membuat model dari tanah liat, membuat bunga kertas, menjahit dan menyulam serta pelajaran kesihatan, perkara-perkara yang diajar adalah lebih romantik daripada apa yang dipelajari oleh kanak-kanak beberapa tahun terdahulu daripada mereka".
… Annual Report of Education 1938, op.cit..,m.s 20

Pada peringkat awal penubuhannya sehingga tahun 1995, lulusan maktab ini dianugerahi dengan Sijil perguruan, kemudianya Diploma Perguruan dari tahun 1996 hingga tahun 2004.  Mulai dari Julai 2005 sejajar dengan kedudukannya yang dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru, para pelatih lulusannya dianugerahkan dengan  Ijazah Pertama Perguruan.

Selari dengan tuntutan dan perkembangan semasa, maktab ini  bertukar namanya beberapa kali. Bermula dari  Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) diikuti dengan Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) dan mulai 25 Ogos 2008, maktab ini  dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM). Sepanjang 76 tahun penubuhannya, MWTC/MPPM/IPPM/IPGKPM  dianggap unik kerana maktab ini merupakan satu-satunya institusi latihan guru yang melatih bakal guru-guru perempuan, berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Sejak penubuhannya, institut pendidikan ini telah melahirkan puluhan ribu guru pelatih yang memikul amanah mendidik anak bangsa di seluruh pelusuk tanah air. Didikan yang diterima oleh para guru lepasan MWTC/MPPM/IPPM/IPGKPM ini bukan sahaja  berjaya menghasilkan guru yang cemerlang dalam bidang pendidikan bahkan juga melahirkan insan-insan yang berjaya di persada politik dan dan kesusasteraan negara.

Kini sematang usianya, Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu terus berkembang seiring dengan arus globalisasi. Lantaran itu, Kampus Perempuan Melayu sebagai satu-satunya Institut Pendidikan Guru yang kesemua guru pelatihnya adalah perempuan, mula memacu usaha untuk merealisasikan kebitaraan latihan keguruan dalam bidang Prasekolah, Pendidikan Khas dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan berpaksikan Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sesungguhnya sedari awal penubuhannya, 76 tahun lalu Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu terus menabur bakti melatih para guru dan merintis jalan ke arah kecemerlangan pendidikan negara sebagaimana yang diucapkan oleh YB Encik Mohd Khir bin Johari, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu;
"…Maktab ini bahawa semenjak tertuboh-nya pada tahun 1935, ianya telah memberi khidmat bagi memajukan Pelajaran Melayu bukan sahaja dengan melateh Guru2 perintis jalan perkembangan pelajaran di-kalangan kanak-kanak perempuan Melayu tetapi juga memperkenalkan kaedah2 mengajar chara baharu di-kalangan darjah2 Rendah Sekolah Melayu"..  YB Encik Mohd Khir bin Johari, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu , 1 Ogos 1958.

Moga gedung ilmu yang penuh dengan sejarah dan nostalgia ini meneruskan kecemerlangannya melahirkan guru-guru pendidik anak bangsa yang utuh dan kental mendepani cabaran pendidikan masa akan datang.

                Beluru Bukan Sebarang Beluru
                Buah Kedaung Bunga Kedangsa
                Guru Bukan Sebarang Guru
                Suluh Kampung Kemajuan Bangsa

                                                                           
                Pantun nukilan : Fatimah bt. Haji Musip
Image
Pelatih-pelatih tahun tiga 1951-1952 bergambar bersama Pengetua, Miss N.B.Macdonald.
Image
Bergambar kenangan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1950. Barisan hadapan terdiri daripada Ahli Jawatankuasa dan Guru-guru manakala berdiri di belakang ialah pelatih-pelatih tahun II dan III.
Image
Pemandangan pelatih tahun II tahun 1950 yang sedang belajar di dalam bilik Lukisan.
Image