Kelab Sultan Sulaiman: Kelab Melayu Pertama

Lokasi
Tarikh Perasmian
Dirasmikan Oleh
: Kampung Baru, Kuala Lumpur
: 8 Disember 2007
: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Tahun | Perkembangan / Peristiwa |
|---|---|
1899 | Pembinaan Pondok sebagai tempat perjumpaan penduduk dan rumah tumpangan |
1901 | Pendaftaran aktiviti sebagai sebuah kelab |
1909 | Penubuhan bangunan Kelab Sultan Sulaiman diatas tanah yang diwakafkan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Alaedin Sulaiman Shah hasil sumbangan kerajaan Inggeris sebanyak $500, kutipan derma dari orang ramai dan melalui pertunjukan-pertunjukan kebudayaan. |
1946 | Berlangsungnya Kongres Melayu Se-Malaya yang pertama yang membawa ilham kepada penubuhan UMNO |
Kelab Sultan Sulaiman terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada tahun 1909. Kelab ini merupakan kelab orang Melayu pertama dan tertua di negara ini. Pada tahun 1967, kelab ini dikenali dengan nama Sultan Sulaiman Club sempena mengambil nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada masa itu iaitu Sultan Alaidin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa kerana sumbangan baginda mewakafkan sebidang tanah untuk didirikan Bangunan Kelab Sultan Sulaiman.
Pembinaan kelab ini turut mendapat sumbangan daripada Kerajaan Inggeris sebanyak $500.00, kutipan derma orang ramai dan melalui pertunjukan-pertunjukan kebudayaan yang sering diadakan untuk menambahkan tabung kewangan Kelab. Pada tahun 1967, nama Sultan Sulaiman Club ini ditukar kepada Kelab Sultan Sulaiman.
Pada bulan April 1967, Menteri Besar Selangor, Dato’ Haji Harun b. Haji Idris telah menghantar surat permohonan kepada YAB Tun Abdul Razak b. Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, menyatakan sebuah Dewan Orang Ramai yang menempatkan Kelab Sultan Sulaiman didalamnya akan dibina di Kampung Baru. Bangunan ini akan didirikan di atas tapak Kelab Sultan Sulaiman yang telah dirobohkan.
Akhirnya, pembinaan bangunan baru tersebut yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman menjadi kenyataan hasil kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor. Perasmian bangunan baru ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak b. Hussein pada 30 April 1969.
Kelab ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila pernah menjadi tempat berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya yang pertama pada 1 - 4 Mac 1946, yang mencetuskan bibit-bibit penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Bangunan kelab ini juga pernah digunakan untuk mengadakan Kongres Wartawan bagi menubuhkan Kesatuan Kewartawanan Melayu SeMalaya pada 18 Ogos 1940.
Semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969, bangunan kelab ini telah dijadikan tempat perlindungan orang Melayu yang lari dari kawasan berdekatan dan sekitar Chow Kit serta menjadi markas tentera dan Polis Hutan. Diakhir tahun 1970 dan awal tahun 1971, kelab ini pernah digunakan sebagai tempat perlindungan mangsa-mangsa banjir Kampung Baru ketika banjir besar melanda Kuala Lumpur.
Kini, bangunan kelab ini dikenali dengan nama Bangunan Warisan Kelab Sultan Suleiman. Majlis perasmian bangunan ini disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 8 Disember 2007.



Carian Bahan Di Arkib Negara Malaysia :
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kelab Sultan Sulaiman: Kelab Melayu Pertama, anda boleh hadir ke Dewan Penyelidikan, Arkib Negara Malaysia atau layari Portal Online Finding Aids (OFA) Arkib Negara Malaysia di www.ofa.arkib.gov.my.
Berikut merupakan sebahagian daripada senarai bahan mengenai Kelab Sultan Sulaiman: Kelab Melayu Pertama yang terdapat di Portal Online Finding Aids (OFA) Arkib Negara Malaysia.
| Tajuk | : | SEJARAH PERKEMBANGAN KELAB SULTAN SULAIMAN JALAN STONY KAMPUNG BHARU, KUALA LUMPUR (1901-1976) OLEH SAMSIAH MUHAMMAD, ARKIB NEGARA MALAYSIA 1987. |
| Sumber | : |
Habibah binti Zon, Dato’ |
| URL | : | http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/1069255 |
| Tajuk | : | SIRI BANGUNAN BERSEJARAH, SEJARAH PERKEMBANGAN KELAB SULTAN SULAIMAN (1901-1979)-1987 |
| Sumber | : | Arkib Negara Malaysia, Jabatan |
| URL | : | http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/936007 |
| Tajuk | : | PENCETUS SEMANGAT JUANG BANGSA KELAB SULTAN SULAIMAN |
| Sumber | : | Arkib Negara Malaysia, Jabatan |
| URL | : | http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/936698 |
| Tajuk | : | DOKUMENTASI SEJARAH KAMPONG BARU, KUALA LUMPUR, 1999 |
| Sumber | : | Arkib Negara Malaysia, Jabatan |
| URL | : | http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/924475 |
