Sejarah Armada Negara
Pada 1 Julai 1958, Kerajaan British di Singapura menyerahkan Tentera Laut Diraja Malaya kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Detik bersejarah ini diadakan secara rasmi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaya, Woodlands Singapura pada 12 Julai 1958. Satu perjanjian penyerahan aset dalam bentuk kapal-kapal dan pangkalan telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Ketua Menteri, Encik Lim Yew Hock bagi pihak kerajaan Singapura. Mulai daripada tarikh tersebut juga semua kapal dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaya menggunakan bendera baharu dan awalan baharu, KD yang bermaksud ‘Kapal Diraja'.
Berikutan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, nama Tentera Laut Diraja Malaya dipinda ke Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Pada 12 Mac 1966, Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Diraja kepada pasukan TLDM sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap tugas, peranan dan pengorbanan pasukan ini kepada negara.
TLDM yang merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan tentera laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara. Peranan utama TLDM ialah memberi perlindungan kepada nelayan tempatan dan mencegah penyeludupan serta memastikan perairan negara termasuk Zon Ekonomi Eksklusif dikawal dan dipertahankan setiap masa. Kini, TLDM dilengkapi dengan kapal perang moden yang canggih dan setanding dengan perkembangan teknologi peperangan maritim semasa. Antara persenjataan moden yang dimilikinya adalah peluru berpandu, meriam jarak jauh dan antikapal selam.
Pada 3 September 2009, satu sejarah telah ditempa oleh negara kerana buat julung-julung kalinya kapal selam pertama negara, Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR) tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah. Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM, bukan sahaja meningkatkan keupayaan armada bahkan melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi, iaitu peperangan bawah permukaan, peperangan aras permukaan dan peperangan antiudara.
KD TAR merupakan kapal selam pertama daripada dua buah kapal selam milik negara yang dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru berpandu jarak jauh antikapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah permukaan air. Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia mampu mengawasi perairan negara pada ke dalaman 100 hingga 200 meter. Pada 15 Julai 2010, kapal selam kedua negara KD Tun Razak telah tiba di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah, iaitu pangkalan bagi kapal selam negara. KD Tun Razak dikendalikan 32 anggota tentera laut yang mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun.
Sesungguhnya, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini turut disumbangkan oleh angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pencapaian yang ditunjukkan oleh TLDM sama ada di peringkat negara mahupun di persada antarabangsa perlu dibanggakan. Kejayaan ini meletakkan armada laut kita sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara barat. Sejajar dengan cogan katanya ‘Sedia Berkorban' pastinya, TLDM akan terus cemerlang sebagai sebuah tentera laut bertaraf dunia.
