Perkembangan Tenaga Nuklear Malaysia
Sejak awal penubuhan agensi ini, tujuannya bukanlah untuk membangunkan mahupun membina senjata nuklear bagi peperangan ataupun mencipta bahan yang bersifat pemusnah kepada manusia sejagat. Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini yang menandatangani Triti Ketiakcambahan Senjata Nuklear (NPT), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melarang sebarang pembangunan senjata nuklear mahupun menerima apa jua bentuk bantuan dari luar mengenai senjata nuklear; dan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT). Sebuah stesyen pemantauan CTBT telah didirikan di Malaysia bagi tujuan pemantauan dan pengesanan ujian senjata nuklear.
Pengawalan ke atas penggunaan benda-benda radioaktif di negara ini bermula sejak tahun 1968 lagi, apabila Parlimen meluluskan Akta-akta Benda radio aktif 1968. Berikutan daripada perkembangan pesat aktiviti-aktiviti tenaga atom di negara ini, pada April 1984, Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304). Pada 1 Februari 1985, selaras dengan kehendak Seksyen 3, Akta 304, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. AELB bertanggungjawab terhadap peraturan dan perlaksanaan Akta Bahan-bahan Radioaktif (Radioactive Substances Act), dasar negara mengenai tenaga nuklear dan keselamatan radiasi dan keselamatan. Mulai 27 Oktober 1990 AELB telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. AELB dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik oleh menteri. Ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang sains dan teknikal berkaitan tenaga atom.
Pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan pada Jun 2009, bahawa Malaysia berminat untuk membina loji nuklear berskala kecil sebagai sumber penjanaan elektrik telah memberikan suntikan baharu dalam bidang tenaga nuklear negara yang selama ini tertumpu kepada bidang penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan, perindustrian, pertanian dan pemeliharaan alam sekitar. Tenaga nuklear kini dilihat sebagai sumber alternatif terbaik untuk menjana kuasa elektrik negara bagi menampung permintaan tenaga yang kian meningkat dan penyusutan sumber tenaga minyak. Tenaga elektrik yang dihasilkan daripada teknologi kuasa nuklear disifatkan sebagai teknologi sihat dan lebih murah daripada sumber alternatif yang lain.
Sesungguhnya loji janakuasa nuklear yang dicadang dibina dengan anggaran kos RM 9.75 billion dan dijangka beroperasi pada 2021 ini dilihat mampu menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara. Ianya juga selaras dengan hasrat negara yang mahu bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah bagi menangani perubahan iklim dunia akibat pembebasan karbon dioksida.
Artikel ini telah disiarkan di
Majalah Dewan Siswa, Mac 2011
