Dokumen Perisytiharan Kemerdekaan

Setiap kali membicarakan tentang kemerdekaan, pastinya nama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akan turut dibicarakan. Sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, sesungguhnya YTM Tunku dan Kemerdekaan adalah begitu sinonim. Segala jasa, sumbangan dan pengorbanan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama tidak akan dapat dilupakan. Kegigihan, keazaman dan pengorbanan YTM Tunku dalam mengusahakan jalan untuk mencapai kemerdekaan patut diingati dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sejak dari awal lagi pendekatan YTM Tunku untuk mendapatkan kemerdekaan adalah melalui rundingan dengan pihak British kerana YTM Tunku tidak mahu setitik darahpun mengalir dalam memperjuangkan kemerdekaan ini. Ternyata langkah yang diambil beserta dengan kebijaksanaan YTM Tunku akhirnya usaha mendapatkan kemerdekaan telah berjaya diperolehi.

Mengenang kembali sepintas lalu detik bersejarah Negara diisytiharkan merdeka semuanya bermula dari tarikh 1 Januari 1956, di mana rombongan kemerdekaan  yang terdiri daripada 5 orang wakil kerajaan Persekutuan yang di ketuai oleh YTM Tunku telah berangkat ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada pemerintahan British. Misi yang dibawa oleh rombongan ini nyata tidak menghampakan harapan rakyat ketika itu kerana pada 6 Februari 1956 pemerintah British telah bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pada 8 Februari 1956 perjanjian kemerdekaan  telah ditandatangani oleh YTM Tunku dengan Setiausaha Jajahan British, Mr. Allan Lennox-Boyd.

Kejayaan rombongan ini telah tersebar ke seluruh pelusuk Negara melalui corong-corong radio dan seluruh rakyat ketika itu tidak sabar-sabar menanti kepulangan rombongan ini. Pada 20 Februari 1956, rombongan kemerdekaan telah tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dan disambut oleh lebih kurang 1000 orang perwakilan UMNO, MCA dan MIC. Dari Lapangan Terbang Batu Beremdam, rombongan ini seterusnya diarak ke Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka di mana disinilah YTM Tunku memberi ucapan dan membaca pengisytiharan tarikh kemerdekaan negara yang jatuh pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan tarikh keramat ini telah disambut dengan laungan "Merdeka" oleh lebih kurang 100,000 orang yang datang dari seluruh pelusuk negara tanpa mengira bangsa, keturunan, jantina, dan usia.

Bertitik tolak dari ini, pelbagai persiapan dan persediaan dibuat bagi meraikan ketibaan tarikh bersejarah tersebut. Salah satu daripada persiapan penting ialah penyediaan Dokumen Perisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu dokumen khazanah negara yang tiada nilai dan gantinya. Dokumen ini berukuran 71.9cm x 49.6cm yang di perbuat dari kulit kambing. Ia adalah dokumen penting negara yang menjadi tonggak dan asas kepada struktur dan pentadbiran sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat berpaksikan kepada sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi cara berparlimen.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 ini, Arkib Negara Malaysia ingin menguar-uarkan serta berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia kandungan teks Pemasyhuran Kemerdekaan  yang dibacakan oleh YTM Tunku pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Sebagai rakyat Malaysia yang sejati, seharusnyalah kita mengenali dokumen penting ini serta sama-sama mengetahui, memahami dan menghayati kandungan pemasyhuran tersebut yang menjadi kebanggaan serta bukti kepada terbentuknya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dokumen ini adalah detik bermulanya penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.


PEMASYHURAN KEMERDEKAAN

Dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Mengasihani. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya oleh kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang Merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa di seluruh dunia.

Dan bahawasanya oleh kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1957 yang diperbuat di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri Melayu maka telah dipersetujui bahawa negeri-negeri Melayu iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang mulai daripada 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian yang tersebut iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh yang tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatan Baginda di atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula di antara kedua-dua pihak yang tersebut iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1948, dan segala perjanjian-perjanjian lain yang ada sekarang di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada Baginda-Baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa-kuat kuasa dan hak-hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat yang tersebut itu ataupun yang berhubung dengannya atau Negeri-Negeri Melayu ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhnya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya oleh kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya oleh kerana sebuah Perlembagaan bagi Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen.

Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh Negeri-Negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan di dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA ibni ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIM SHAH, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhur dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai daripada tiga puluh satu hari bulan Ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya negeri-negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wataala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang Merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.

t.t Tunku Abdul Rahman                     Kuala Lumpur.
Perdana Menteri                          31 hari bulan Ogos tahun 1957

Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan ini jelas menunjukkan Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) adalah menjadi sebuah negara berdaulat yang mengamalkan sistem Raja berperlembagaan berdasarkan demokrasi cara berparlimen mulai 31 Ogos 1957. Negara ini juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kanun dan ketetapan yang bertindak untuk menjaga dan memelihara hak asasi dan kebebasan seluruh rakyat yang bernaung di bawah payung kedaulatan negara.

Dokumen asal Pemasyhuran Kemerdekaan ini masih tersimpan dengan baik di Arkib Negara Malaysia dan terdapat dalam dua versi iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bertulisan jawi. Arkib Negara Malaysia juga turut memiliki dokumen Pemasyhuran Malaysia yang turut dimasyhurkan oleh YTM Tunku pada Hari Malaysia 16 September 1963.  

Bagi mengabadikan sejarah perjalanan kemerdekaan negara, ANM telah menubuhkan Memorial Pengistiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir Melaka pada 31 Ogos 1985. Arkib Negara juga menubuhkan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Jalan Perdana, Kuala Lumpur pada 11 November 1994 bagi memaparkan jasa dan sumbangan negarawan ulung tersebut dalam menerajui kepimpinan negara. Orang ramai dialu-alukan melawat memorial-memorial ini bagi menyegarkan semula pengetahuan sejarah dan memupuk rasa kecintaan terhadap tanah air kita. Masuk adalah percuma.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, Arkib Negara Malaysia ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga tema sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" dapat menyuntik semangat cintakan sejarah negara serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi di sanubari rakyat Malaysia. Sesungguhnya Negara ini adalah milik kita bersama. Oleh itu marilah kita sama-sama berganding bahu mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Image