Dari Malaya Ke Malaysia
Lahirnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963 mencatatkan satu sejarah yang amat bermakna. Ianya menandakan satu lagi perubahan pada geo-politikal rantau Kepulauan Melayu. Kepada Singapura, Sabah dan Sarawak, gagasan Malaysia lebih bermakna kerana ia membawa erti kebebasan dan kemerdekaan dari penjajahan British. Bagi Persekutuan Tanah Melayu yang telah pun merdeka pada 31 Ogos 1957, gagasan Malaysia menjangkaui pengertian survival dan keamanan serantau.
Jika dilihat kembali rentetan-rentetan yang membawa kepada penubuhan Malaysia, nyata usaha untuk merealisasikan gagasan ini bukan satu jalan mudah. Ia bukan hanya soal menggabungkan beberapa buah negeri atau wilayah yang terpisah dari segi geografikal ke dalam satu unit pentadbiran. Tetapi juga melibatkan penyatuan negeri-negeri dan wilayah yang masing-masing mempunyai pemerintah dengan idealisme dan kepentingan kebangsaan yang tersendiri, lantaran dicorakkan oleh liku-liku dan pengalaman sejarah yang dilalui masing-masing berabad lamanya.
Untuk menggarapkan semuanya ke dalam satu entiti sebuah kenegaraan yang mempunyai persamaan cita-cita dan aspirasi memang amat sukar. Hanya aspirasi untuk menikmati kebebasan dan mencapai keamanan dan kesejahteraan serantau sahaja menjadi faktor penguat dan pemudah bicara sehinggalah lahirnya Malaysia.
Mengapa Malaysia wujud
Ada beberapa sebab mengapa Malaysia dibentuk. Antaranya untuk membendung penularan ideologi dan pengaruh komunisme dari menguasai dan mengugat kestabilan politik serantau, mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, mengimbangi aspek kependudukan dan meningkatkan kemajuan ekonomi wilayah-wilayah yang terlibat.
Bagi pihak British, manfaat yang akan diperolehi daripada penyatuan ini ialah ia dapat menyelesaikan masalah status perlembagaan ketiga-tiga wilayah Borneo; mengurangkan peluang penguasaan ke atas wilayah-wilayah Borneo oleh Indonesia atau Filipina; mengelakkan Singapura dari jatuh di bawah pengaruh China; dan mewujudkan satu persekutuan yang stabil yang dapat mengurangkan tanggungjawab British terhadap keselamatan dalam negeri di kawasan-kawasan ini.
Bagi Singapura, percantuman dengan Persekutuan Tanah Melayu sesuatu yang amat diharapkan kerana melaluinya Singapura akan memperolehi kemerdekaannya dan pada masa yang sama mencapai matlamat pemacuan ekonominya.
Bagi Borneo Utara dan Sarawak, gagasan Malaysia nyata akan mempercepatkan proses perolehan kemerdekaan buat negeri mereka. Malah, peruntukan yang menyentuh hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang akan diperluaskan ke Borneo Utara dan Sarawak, dilihat dapat memperbaiki kedudukan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Bagi Persekutuan Tanah Melayu, membendung ancaman komunis dan mewujudkan keamanan serantau menjadi matlamat utama. Perkembangan politik di Singapura pada ketika itu semakin memperlihatkan peningkatan pengaruh parti berhaluan kiri sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan Persekutuan.
Tunku dalam ucapan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 menegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh berdiri sendiri dalam usaha membendung komunisme di rantau ini. Bagi membentuk benteng kukuh menghadapi ancaman tersebut, satu rancangan atau gagasan yang boleh mengikat kerjasama politik dan ekonomi antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak hendaklah dibentuk.
Tujuan penubuhan Malaysia dijelaskan lagi oleh Tunku dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 4 November 1961 -
"kita mempunyai niat dan tujuan yang bersih terhadap negeri-negeri ini untuk melepaskan mereka daripada takluk penjajah. Dengan percantuman itu kelak, mereka dengan sendirinya akan menjadi negeri-negeri yang merdeka bersama-sama dengan kita dalam sebuah kerajaan yang bersatu".
Bagaimana ia bermula
Idea awal pergabungan ini telah berakar umbi sejak 1887. Namun konsepnya pada ketika itu adalah untuk menggabungkan koloni-koloni British di Asia Tenggara ke dalam sebuah tanah jajahan yang besar. Tujuannya, untuk memudahkan pentadbiran dan penyelarasan dasar British terhadap tanah-tanah jajahannya di rantau ini. Namun cadangan supaya wilayah-wilayah di Borneo digabungkan dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, bagaimanapun tidak mendapat maklumbalas yang positif. Beberapa cadangan serupa yang dikemukakan kepada kabinet Britain pada tahun 1888 dan 1932 juga menemui kegagalan.
Apabila British kembali bertapak di Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua, idea penyatuan ini dihidupkan semula. Usaha-usaha British seperti mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara untuk menyelaras dasar pentadbiran tanah-tanah jajahan British di rantau ini, menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Bersama Persekutuan Tanah Melayu-Singapura dan mengadakan beberapa perjumpaan dengan pemerintah-pemerintah tempatan secara langsung menjelaskan niat dan hasrat British ke arah penyatuan tersebut.
Sir Malcom MacDonald pada April 1955 menyatakan:
"Matlamat terakhir kami ialah untuk mewujudkan suatu persekutuan (confederation) di antara lima wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Kami telah bersetuju bahawa matlamat ini akan dicapai dalam dua tahap iaitu yang pertama melalui kombinasi penyatuan Persekutuan Tanah Melayu-Singapura dan wilayah-wilayah Borneo sebagai entiti yang terpisah. Tahap yang kedua ialah membawa kedua-dua kumpulan ini di bawah suatu kerajaan berperlembagaan yang sesuai."
Cadangan Sir Malcom MacDonald untuk menubuhkan Persekutuan Borneo yang merangkumi Brunei, Borneo Utara dan Sarawak bagaimanapun gagal apabila ditolak oleh Sultan Brunei. Cadangannya supaya Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura digabungkan bagi membolehkan kerjasama ekonomi dipertingkatkan juga gagal setelah ditolak oleh UMNO yang bimbang pada implikasi yang akan timbul terhadap keseimbangan antara kaum Melayu dan bukan Melayu.
Pada masa yang sama, Singapura, atas sebab-sebab politik dan ekonomi turut mengutarakan idea gabungan di antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura namun Tunku menolak kerana tidak mahu ia menjejaskan tuntutan kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas Tanah Melayu merdeka, gesaan semakin bertambah untuk Greater Malaysia direalisasikan. Namun Tunku nyata sejak awal lebih berminat untuk percantuman dengan negeri-negeri Borneo. Bagi Tunku, penduduk di Semenanjung dan negeri-negeri di Borneo adalah diibaratkan saudara sedarah sedaging dan satu keturunan dengan mempunyai sistem dan cara pemerintahan yang sama. Tetapi British nyata tidak membenarkan percantuman tersebut tanpa memasukkan Singapura.
Hasil perbincangan dengan pihak British semasa Persidangan Perdana Menteri Komanwel pada Januari 1961 telah membibitkan perubahan pendirian Tunku. Idea pengasingan diri dari politik kewilayahan tidak akan berkesan dalam jangka panjang. Sungguhpun begitu, syarat diberi oleh Tunku untuk menerima Singapura sekiranya tiga wilayah di Borneo menyertai sama grand design ini.
Ucapan Tunku di Singapura pada 27 Mei 1961 seterusnya menjadi titik tolak penting yang membuka laluan kepada pembentukan Malaysia. Melalui konsep Persekutuan Melayu Raya atau Malaysia Raya ini, semua negeri dalam persekutuan ini akan mempunyai taraf yang sama dengan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan sebagaimana yang dipersetujui oleh negeri-negeri itu sendiri.
Liku-liku dan Cabaran Dihadapi
Sebaik menyuarakan cadangan gagasan Malaysia tersebut, Tunku menerima pelbagai bentuk reaksi daripada pemimpin dan rakyat di Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan juga di Semenanjung sendiri. Sebahagian menyokong manakala sebahagian menentang.
Walaupun kesedaran politik dalam kalangan masyarakat Borneo Utara dan Sarawak agak lambat kerana lama berada dalam penjajahan British, namun tentangan hebat dihadapi terutama daripada pemimpin UNKO dan Pasok Momogun. Malahan kebimbangan dan ketidakfahaman mereka mengenai konsep Malaysia sehingga menyebabkan UNKO, SUPP dan Parti Rakyat Brunei bergabung membentuk United Front pada Julai 1961 untuk menentang gagasan Malaysia.
Mereka beranggapan, negeri mereka akan menjadi koloni baru yang dijajah oleh Persekutuan Tanah Melayu. Manakala jawatan-jawatan yang bakal dikosongkan oleh pegawai-pegawai British kelak dibimbangi akan diisi oleh hanya pegawai-pegawai dari Persekutuan dan Singapura. Mereka juga bimbang terhadap dominasi politik orang Melayu dan persaingan daripada orang-orang Cina di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Gabenor-gabenor British di Borneo Utara dan Sarawak turut menentang gagasan Malaysia kerana merasakan Borneo Utara dan Sarawak masih belum bersedia dari segi politik berbanding Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura yang lebih jauh ke hadapan dalam pelbagai aspek. Di Singapura, walaupun cadangan Malaysia disokong kuat, namun tidak kurang juga yang menentang terutama dari golongan anti-PAP.
Kerajaan British yang menyokong gagasan Malaysia, menghantar beberapa perwakilan untuk mengadakan perbincangan-perbincangan berasingan dengan Tunku, Gabenor Sarawak, Gabenor Borneo Utara dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei. Pertemuan juga diadakan di antara Tunku dengan Lee Kuan Yew dan dengan Perdana Menteri Britain, Sir Harold MacMillan.
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel yang dianjurkan oleh kerajaan British telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia atau Malaysian Solidarity Consultative Committee (MSCC) yang dikenali juga sebagai Jawatankuasa Setiakawan Malaysia pada 23 Julai 1961. MSCC mempunyai perwakilan daripada Persekutuan, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.
Melalui jawatankuasa ini, satu persidangan diadakan di Jesselton pada 24 Ogos 1961 untuk memberi penjelasan mengenai gagasan Malaysia kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak. Di persidangan ini juga, wakil-wakil negeri diberi peluang berbincang, melahirkan buah fikiran serta mendapatkan penerangan yang lebih jelas mengenai perkara-perkara berkaitan Malaysia.
Dalam mesyuarat jawatankuasa di Kuching pada 18 Disember 1961, persetujuan pada dasarnya telah diterima daripada perwakilan Borneo Utara dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia. Rakyat Borneo Utara dan Sarawak diberi peluang mengemukakan segala masalah dan syarat-syarat yang berkaitan hak-hak perlindungan berperlembagaan. Hasil dari perbincangan dan maklumbalas yang diberi, satu memorandum khas telah disediakan oleh MSCC.
Memorandum khas ini mengandungi syarat-syarat terperinci berhubung penyertaan Borneo Utara dan Sarawak ke dalam Malaysia seperti perkara-perkara berkaitan keagamaan, bahasa, imigresen dan kedudukan pribumi. Memorandum ini secara langsung membuktikan penglibatan aktif pemimpin politik di kedua-dua negeri dalam pembentukan sebuah negeri yang merdeka di bawah Malaysia.
Namun, satu perkara penting yang dipersetujui oleh semua pihak adalah Malaysia harus mempunyai sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan ada pembahagian kuasa yang jelas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri di samping mewujudkan peruntukan-peruntukan khas yang hanya digunakan di negeri-negeri tersebut.
Dalam pada itu, satu suruhanjaya bebas dan berkecuali telah dilantik pada Januari 1962 untuk meneliti pendapat dan pandangan rakyat Borneo mengenai Malaysia. Dalam lawatan di 35 buah tempat di Borneo Utara dan Sarawak termasuk ke kawasan-kawasan pedalaman, ahli Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan yang melibatkan sejumlah 4000 orang. Suruhanjaya juga telah menerima 2,200 memorandum yang dikemukakan oleh pelbagai persatuan, parti politik, pertubuhan keagamaan, kemasyarakatan dan kesatuan sekerja, ketua-ketua kaum serta individu.
Penyata Suruhanjaya Cobbold dikeluarkan pada Julai 1962. Hasil tinjauan yang dilakukan, majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak didapati menyokong kemasukan ke dalam Malaysia. Lanjutan dari laporan Cobbold tersebut, penubuhan Malaysia akhirnya telah ditetapkan pada tarikh 31 Ogos 1963 beserta dengan syarat bahawa segala perkara berkaitan perlembagaan telah diselesaikan.
Dalam pada itu, wakil-wakil setiap negeri Borneo dibawa melawat dan melihat sendiri keadaan pentadbiran dan kemajuan yang telah dicapai seperti pembangunan luar bandar, peningkatan taraf pendidikan, kemudahan awam dan kesihatan serta hak-hak keistimewaan kaum bumiputera.
Berikutan itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada Ogos 1962 iaitu yang juga dikenali sebagai Lansdowne Committee (IGC) bagi melaksanakan tanggungjawab berkaitan perkara perlembagaan yang dapat memelihara kepentingan kedua-dua negeri dalam Persekutuan baru tersebut. Berikutan itu, sebuah penyata dikeluarkan oleh jawatankuasa yang menggariskan cadangan-cadangan perlembagaan berkaitan.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada telah dipersetujui menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia. Selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara, IGC menghasilkan draf '20 Perkara' yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia. 20 perkara yang menjadi asas kompromi ini membabitkan antaranya, bahasa, agama, kewangan, undang-undang, perkhidmatan awam, pendidikan, perwakilan dalam Parlimen dan imigresen.
Begitu juga dengan Sarawak, kompromi yang dicapai digarap dalam '18 Perkara'. Persefahaman melalui '20 Perkara' dan '18 Perkara' inilah yang menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk di Borneo Utara dan Sarawak dalam Malaysia.
Kejayaan untuk merealisasikan Malaysia telah mengundang pelbagai lagi cabaran yang diterima daripada negara-negara jirannya. Pada 22 Jun 1962, Filipina mengumumkan tuntutan secara rasmi ke atas Borneo Utara yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu. Paparan di dada-dada akhbar di negara tersebut silih berganti bagi membakar semangat rakyat Filipina menyokong kerajaannya mendapatkan Borneo Utara.
Tuntutan yang dimulakan oleh Presiden Macapagal tersebut dibawa sehingga ke persidangan agung PBB dan kepada perhatian kerajaan Amerika dan Britain. Sejak dari mula idea pembentukan Malaysia diutarakan sehingga ke hari ini, isu tuntutan ke atas Borneo Utara tidak menemui penyelesaiannya. Pada penghujung 1962, komunis di seluruh Asia Tenggara pula mengutuk gagasan Malaysia dan cuba menghalang penubuhannya.
Pada 8 Disember 1962, berlaku pemberontakan di Brunei diketuai oleh A.M. Azahari, pemimpin Parti Rakyat Brunei bersama Tentera Nasional Kalimantan Utara. Walaupun pemberontakan ini berjaya dipatahkan dengan bantuan tentera British dan Gurkha, namun ia telah menjadi satu faktor yang menyebabkan Sultan Brunei menolak kemasukan Brunei ke dalam Malaysia.
Dalam pada itu, Indonesia memulakan kempen 'Ganyang Malaysia' kerana membantah penubuhan Malaysia yang dianggap mencabar hasrat dan impian Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya atau Melayu Raya. Pada 20 Januari 1963, dilancarkan terhadap Malaysia sehingga membawa pendaratan askar-askar payung terjun dan penyusupan gerila Indonesia di Johor, Borneo Utara dan Sarawak. Namun serangan yang mengorbankan sebilangan tentera ini telah berjaya dipatahkan dengan bantuan dan kerjasama askar-askar Gurkha, British, Australia dan New Zealand.
Di sebalik cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui, rundingan akhir penubuhan Malaysia diadakan juga di London pada pertengahan 1963 bagi memeterai persetujuan semua pihak yang terlibat terhadap semua syarat untuk percantuman di bawah Malaysia. Susulan itu, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1963 di antara Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak. Dengan meterainya perjanjian ini, berakhirlah kedaulatan Britain ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.
Dalam usaha untuk menyelesaikan pertelingkahan berkaitan Malaysia, satu sidang kemuncak diadakan di Manila pada akhir Julai 1963. Satu persetujuan dikenali sebagai Manila Accord ditandatangani pada 31 Julai 1963 di mana Filipina dan Indonesia menyatakan persetujuan untuk menyokong gagasan Malaysia jika mendapat sokongan daripada penduduk-penduduk di kedua-dua negeri tersebut dan sokongan ini disahkan oleh PBB. Susulan dari itu, sebuah misi PBB dilantik untuk meninjau pendapat penduduk di wilayah Borneo mengenai gagasan Malaysia. Namun misi ini tidak dapat menyiapkan laporannya sebelum 31 Ogos 1963 disebabkan kelewatan penyertaan wakil-wakil dari Indonesia dan Filipina. Keputusan tinjauan tersebut mengesahkan majoriti penduduk di Borneo menerima kemasukan ke dalam Malaysia. Namun begitu, bantahan masih tetap diterima daripada Filipina dan Indonesia. Di sebalik liku-liku yang dihadapi, Malaysia dirasmikanpada 16 September 1963 dalam satu upacara gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Borneo Utara juga kini dikenali sebagai Sabah.