Rumah Melayu Negeri Sembilan
Jika ditinjau dengan teliti dan mendalam mengenai konsep binaan rumah Melayu Negeri Sembilan, ia begitu lengkap dari segi susunan dan perancangannya. Dengan memfokuskan kepada model rumah Melayu Negeri Sembilan, kita dapati ianya meniru reka bentuk Minangkabau. Ia mempunyai bumbung panjang dan lentik dengan kedua-dua hujung bumbungnya naik ke atas sedikit. Seperti rumah Melayu lain ia juga mempunyai rumah ibu, atau rumah tengah serambi serta loteng dan pada dindingnya mempunyai ukiran-ukiran yang menarik sekali. Antara ciri lain adalah berlantai tinggi dari tanah dan bertangga kayu.
Model rumah Melayu Negeri Sembilan ini diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi dan atapnya juga daripada kayu. Rumah ini juga agak sederhana besarnya iaitu 17.8 meter x 2.7 meter panjang dan 7.8 meter x 0.9 meter lebar. Ia mempunyai 16 batang tiang utama; justeru itu ia juga dikenali sebagai Rumah Tiang 16.
Seperti rumah-rumah Melayu tradisional, rumah ini juga diserikan dengan ukiran-ukiran yang menarik pada bahagian hadapan rumah. Ukiran ini menambahkan lagi mutu seni rumah tersebut yang bukan sahaja kukuh dari segi binaannya tetapi juga indah dan bernilai dari segi reka bentuk seninya. Oleh sebab itulah Model Rumah Melayu ini telah dipamerkan di London pada tahun 1924 dalam Pameran Great Wembly. Kini model Rumah Melayu Negeri Sembilan ini masih berdiri tegak di Taman Seni Negeri Sembilan sebagai bangunan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
Berhampiran dengan Model Rumah Melayu Negeri Sembilan ini, terdapat sebuah lagi bangunan lama yang iaitu Istana Ampang Tinggi. Istana Ampang Tinggi juga merupakan istana yang mempunyai pengaruh reka bentuk Minangkabau. Ia berbumbung panjang dan lentik. Selain daripada reka bentuknya, keindahan atau seni ukiran yang terdapat di dinding, pintu, tangga dan lain-lain bahagian istana ini juga merupakan keistimewaannya. Istana ini juga dibina tanpa menggunakan paku besi.


Kebanyakan ukiran-ukiran yang terdapat di Istana ini mempunyai motif-motif tertentu khususnya motif awan larat, bunga semantung, bunga tampuk manggis dan berbagai-bagai jenis motif bunga-bungaan. Sesungguhnya ukiran-ukiran ini melambangkan ketinggian mutu seni ukiran dan budaya Melayu sendiri.
Istana ini juga mempunyai loteng, iaitu salah satu ciri bagi rumah-rumah Melayu tradisional Negeri Sembilan. Di bahagian ini biasanya merupakan tempat menyimpan barang-barang berharga dan juga tempat beradu puteri-puteri.
Istana Ampang Tinggi ini telah dibina pada masa pemerintahan Yamtuan Ulin (Yamtuan Imam), Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kelima di antara tahun 1861-1869. Istana ini pernah menjadi tempat bersemayam Tunku Muhammad, Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan Ketujuh. Bagaimanapun pada tahun 1928, Istana ini tidak menjadi tempat bersemayam baginda lagi dan ianya dijaga oleh kerabat-kerabat baginda. Pada tahun 1953 Istana ini dipindahkan ke Seremban dan dijadikan Muzium Negeri.
Sifat warisan budaya nenek moyang dahulu. Hasil seni yang bermutu itu lahir dari proses evolusi; dibentuk oleh zaman dan di dalamnya tersirat dan terjalin aspek budaya Melayu yang menjadi kebanggaan generasi kini.



