Maktab Perguruan Sultan Idris
Dengan pembukaan MPSI ini, maktab-maktab yang lebih awal seperti Maktab Matang dan Melaka dibubarkan dan pelajar-pelajarnya diserapkan ke MPSI. Di bawah O.T. Dussek, Pengetua MPSI yang pertama dan 120 orang pelajar perintisnya telah menunjukkan kejayaan yang baik dalam bidang pelajaran.
Selain mata pelajaran biasa seperti Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Hisab dan lain-lain, pelajar-pelajar di MPSI juga diajar tentang anyaman, bertani, bertukang dan seumpamanya. Manakala pelajar-pelajar yang dapat memasuki MPSI terdiri daripada mereka yang telah lulus darjah 6 Sekolah Melayu. Ini juga merupakan syarat asas untuk memasuki MPSI. Tujuan asal Kerajaan Inggeris adalah supaya pelajar-pelajar ini lebih pandai sedikit daripada ibu bapa mereka dahulu. Kerajaan Inggeris juga berharap untuk menjadikan para pelajar ini sebagai tenaga pekerja mereka, tetapi apa yang berlaku adalah di luar dugaan.
MPSI yang menjadi tempat menimba ilmu itu telah menyedarkan lagi para pelajar tentang nasib bangsanya. Pendedahan pada apa yang berlaku di luar negeri melalui pembacaan telah membuahkan bibit-bibit semangat kebangsaan di kalangan pelajar-pelajar. Penubuhan Pejabat Karang- Mengarang 1925 mendedahkan lagi para pelajar pada sumber-sumber bacaan dari luar.


Pada masa Perang Dunia Kedua, MPSI telah ditutup kerana bangunan itu dijadikan Hospital Tentera oleh Inggeris dan para pelajar berpindah ke Kuala Kangsar. Di atas ihsan Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, para pelajar MPSI ditempatkan di tiga buah istana di Kuala Kangsar iaitu Istana Hulu, Istana Kuning dan Istana Hilir. Walau bagaimanapun ketika perang merebak ke Tanah Melayu para pelajar diarahkan pulang ke kampung masing-masing.
Pada tahun 1946, apabila pengajian dibuka setelah tamatnya perang, MPSI menuju ke era yang lebih bersemangat lagi di kalangan para pelajarnya. Semangat kebangsaan mula bercambah subur di MPSI dan para pelajar semakin berani menuntut hak-hak pelajar sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949 dan ekoran daripada itu MPSI ditutup selama 3 bulan.
Menjelang kemerdekaan 1957 peranan yang dimainkan oleh MPSI tidak kurang pentingnya. Institusi ini telah dapat menyediakan segolongan intelek Melayu yang berjiwa kebangsaan dan ini penting untuk mengisi ruang kemerdekaan yang akan diberikan. Tenaga pemimpin yang disediakan oleh MPSI ini amat diperlukan dan mereka telah dapat menunjukkan daya kepimpinan yang baik yang bukan sahaja membanggakan MPSI tetapi juga masyarakat Melayu seluruhnya. Antara tokoh-tokoh pemimpin yang dilahirkan oleh MPSI termasuklah Senu Abdul Rahman, Embong Yahya, Syed Nasir Ismail, Ibrahim Yaakob, Abdul Rahman Talib dan Abdul Ghafar Baba. Dalam bidang bahasa, sastera dan kebudayaan pula MPSI telah melahirkan ramai tokoh-tokoh berkaliber dalam bidang ini seperti Haji Buyung Adil, Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Shahrom Hussein, Awang Had Salleh dan ramai lagi.
Sepanjang tertegaknya MPSI yang lebih terkenal dengan nama `Suluh Budiman' ini, ia telah banyak menaburkan jasa dan menyumbangkan sahamnya dalam memupuk kebangkitan semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Melayu. Kini Maktab yang terulung itu semakin pesat berkembang. Bangunan-bangunan baru dibina bagi menampung kekurangan ruang-ruang yang sedia ada. Sebuah muzium yang dikenali dengan Muzium Pendidikan telah ditubuhkan bagi mempamerkan perkembangan sistem pelajaran di negara ini amnya dan di maktab ini khususnya.
Sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah maktab yang terulung itu, maka pihak-pihak tertentu telah mendesak pemerintah supaya menaikkan taraf maktab ini. Oleh itu pada 21 Februari 1987 Encik Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran telah mengisytiharkan Maktab Perguruan Sultan Idris ini dinaikkan tarafnya menjadi sebuah institusi pendidikan yang dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Ianya lebih tinggi tarafnya daripada Maktab-maktab Perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan dan Diploma Lepas Sijil. Keunggulan IPSI dalam memainkan peranan dan kepentingannya telah mendorong kerajaan untuk menaikkan tarafnya ke peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997. Dengan penaikan taraf tersebut, ianya telah dapat memantapkan lagi fungsi institusi ini sebagai gedung ilmu yang mampu melahirkan generasi pendidik berkaliber di masa hadapan.




