Lembah Bujang
Lembah Bujang adalah merupakan sebuah kawasan yang terkenal pada masa silam malah sejak awal kurun pertama masehi lagi. Faktor perdagangan yang berkembang pesat antara India dan China membantu memajukan kawasan ini yang merupakan laluan pintas melalui jalan air Sungai Merbok ke Kelantan dan ke Laut China Selatan. Kawasan ini juga sebagai tempat persinggahan yang penting bagi saudagar-saudagar India untuk ke negeri China dan sebaliknya.
Gunung Jerai terletak di kawasan ini merupakan pedoman penting bagi kapal-kapal perdagangan yang memasuki Sungai Merbok dalam kawasan Lembah Bujang. Di pinggir gunung yang tertinggi sekali di negeri Kedah ini terdapat banyak air terjun dan tempat-tempat yang sesuai bagi kediaman dan upacara keagamaan. Di sinilah membangunnya Lembah Bujang sebagai sebuah kawasan pusat perkembangan politik dan agama Hindu - Buddha pada masa dahulu.
Rentetan dari urutan peristiwa sejarah itulah Lembah Bujang hingga ke hari ini menjadi salah satu kawasan bersejarah yang penting dan dipelihara. Untuk itu pihak Jabatan Muzium telah berusaha menjalankan penyelidikan arkeologi dan carigali bagi membina semula kesan-kesan sejarah silam itu.
Candi Batu Pahat misalnya dipercayai dibina dalam kurun Ke-6 Masehi. Penemuan ahli-ahli arkeologi menunjukkan candi-candi ini dibina dengan menggunakan batu-batu pejal. Sebanyak 50 buah tapak-tapak candi telah dijumpai di Lembah Bujang. Candi-candi tersebut dianggarkan dibina antara kurun Ke-4 hingga kurun Ke-12 masehi. Untuk memelihara kesan-kesan sejarah ini pihak Jabatan Muzium telah menubuhkan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.







