Tun Dato' Seri (Dr) Muhammad Ghazali Shafie

Image
Tun Muhammad Ghazali bin Shafie dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 22 Mac 1922. Memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Lipis pada tahun 1929, kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Bentong pada 1930 dan Sekolah Melayu Penjom tahun 1931. Apabila memasuki darjah tujuh pada tahun 1932, beliau berpindah ke Sekolah Inggeris Raub dan tinggal di asrama. 

Ketika tercetus Perang Dua Kedua, beliau sedang menuntut di Raffles College, Singapura. Walaupun masih belajar, beliau bergiat cergas dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela yang berjuang menentang pemerintahan Jepun. Antara pertubuhan yang disertai oleh beliau ialah Malayan Volunteers Force pada tahun 1941 sebagai prebet No. 17317, anggota Pasukan 136 Gerakan Perlawanan (Force 136 of Resistance Movement) dan  dalam Askar Wataniah.

Setelah tamat perang Dunia Kedua, Tun Muhammad Ghazali memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Rendah Melayu dan ditugaskan sebagai Penolong Pegawai Daerah, Kuala Lipis. Pada tahun 1948 hingga 1951, beliau melanjutkan pengajian ke University College of Wales, Aberystwth, dengan mengambil jurusan undang-undang.

Sekembalinya ke tanah air, beliau ditugaskan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Selangor sebelum ditukarkan ke Negeri Sembilan  sebagai Pemangku Setiausaha Kerajaan.  Antara tahun 1955 hingga 1957, beliau banyak ditugaskan di luar negara termasuklah di Pejabat Pesuruhjaya di London, pejabat Wakil Tetap Bangsa-bangsa Bersatu dan juga sebagai pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu di India.

Sekembali berkhidmat di luar negara, beliau ditempatkan di Kementerian Luar sebagai Timbalan Ketua Setiausaha kemudian sebagai Pemangku  Ketua Setiausaha bedasarkan pengalaman luasnya dalam hal ehwal luar negara. Pada tahun 1960 dilantik sebagai Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar, jawatan ini kemudian dikenali  sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri. Pada tahun 1962, beliau telah menganggotai Suruhanjaya Cobbold yang bertanggungjawab dalam  pembentukan Malaysia. Pada 16 Mei 1969, Tun Ghazali Shafie menggangotai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan bagi menangani permasalahan negara ekoran tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.

Tun Muhammad Ghazali bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai kerajaan pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai Senator dan diberi jawatan dalam Kabinet sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas. Pada tahun 1972 beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen bagi kawasan Lipis dan memenanginya. Beliau kemudian meneruskan tugas sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas dan Menteri Penerangan. Pada pilihanraya 1974, beliau menang tanpa bertanding dan selepas itu bertukar potfolio kepada Menteri Dalam Negeri, hinggalah pada 1981 dilantik pula sebagai Menteri Luar Negeri sehingga bersara pada 1984.

Ketokohan dan kebolehan yang dimilikinya, Tun Muhammad Ghazali diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi sambutan perayaan Hari Kebangsaan selama 12 tahun bermula pada tahun 1971 hingga tahun 1982. Sebagai pemimpin yang mempunyai berwawasan beliau tidak ketandusan idea-idea baru untuk diterapkan dalam acara-acara sambutan setiap tahun. Menariknya, lirik lagu ‘Malaysiaku Tercinta', lagu khas sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan pada tahun 1980 ditulis oleh beliau.

Negarawan yang pernah berkhidmat di persada pimpinan negara di bawah empat teraju utama bermula dari Zaman Tunku Abdul Rahman Putra hinggalah ke era Tun Mahathir Mohamad telah kembali ke rahmatullah pada  24 Januari 2010 dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Skrip disediakan oleh : Seksyen Dokumentasi
Arkib Negara Malaysia/2011.
Image