Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Abdul Majid Bin Ismail

Image

Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Abdul Majid Bin Ismail

Tokoh Pengkisahan Sejarah Pentadbiran Malaysia

Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Majid  dilahirkan pada 15.11.1921 di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Segambut dan Sekolah Maxwell, Kuala Lumpur. Pada tahun 1934, beliau bersekolah di Batu Road School dan kemudiannya ke Victoria Institution pada tahun 1936 hingga 1939. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada tahun 1940 hingga 1942 bila meletus peperangan dunia yang kedua. Beliau menyambungkan semula pelajarannya pada tahun 1947 sehingga 1950 dan berjaya mendapat ijazah M.B.B.S Malaya iaitu tahun Universiti Malaya di Singapura ditubuhkan.

Pada tahun 1950  juga beliau bertugas di Hospital Besar, Kuala Lumpur dan pada tahun 1951 beliau dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Malayan Medical Service, di hospital tersebut. Pada tahun 1953, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke luar negara iaitu ke Royal College of Surgeon, Edinburgh sebagai Queens Scholar dan memperolehi ijazah F.R.C.S. Edinburgh. Pada tahun 1956, beliau telah dilantik sebagai pakar bedah Negeri Sembilan. Pada tahun 1957 beliau sekali lagi berangkat ke luar negeri melanjutkan pelajarannya ke Universiti Liverpool sehingga memperolehi ijazah  M.Ch. Orth. Liverpool. Berikutan dengan itu pada tahun 1958, beliau telah dilantik sebagai  Pakar Perunding Ortopedik (Consultant Orthopendic Surgeon) Persekutuan Tanah Melayu. Kemudiannya pada tahun 1969, beliau dilantik sebagai Pengarah Perancangan dan Penyelidikan di Kementerian Kesihatan dan pada tahun 1971 pula dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sehingga beliau bersara daripada Perkhidmatan Kerajaan pada tahun 1976.

Berdasarkan pengalaman luas beliau dalam kerjayanya itu beliau telah dilantik menduduki beberapa jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan profesional, baik semasa berkhidmat dengan kerajaan mahupun sesudah bersara. Di antaranya ialah:-
  1. Ahli dan Pengerusi , Majlis Universiti Malaya (daripada 1959 hingga Mei 1987)
  2. Pengerusi Majlis Pemutihan Malaysia
  3. Pengerusi Persatuan Dato-Dato Diraja Negeri Selangor
  4. Pengerusi Yayasan Sultan Abdul Aziz dan banyak lagi.

Selain daripada dilantik mengetuai berbagai pertubuhan kemasyarakatan dan profesional, beliau juga pernah mewakili negara dalam persidangan-persidangan antarabangsa. Di antaranya ialah persidangan anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva pada tahun 1971 dan juga di Manila antara tahun-tahun 1971/1976. Dalam persidangan-persidangan tersebut beliau juga telah membentangkan kertas-kertas kerja yang berfaedah untuk kemajuan kesihatan seluruhnya. Memandangkan jasa baktinya yang begitu besar kepada negara itu beliau telah dianugerahkan berbagai penghormatan dan bintang-bintang kebesaran oleh negara. Di antaranya ialah:-
  1. Pingat Pekerti Terpilih Negeri Sembilan (1965)
  2. Johor Mangku Negara (1965)
  3. Dato Seri Maharaja Diraja Selangor (1966)
  4. Dato Seri Paduka Setia Mahkota, Kelantan (1972)
  5. Panglima Setia Mahkota (1973)
  6. Seri Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (1985)

Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Majid telah berkahwin dengan Puan Sri Khairany Mahyuddin dan memperolehi tiga orang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan dua orang  perempuan. Anak-anak beliau juga telah turut menjejaki kecemerlangan beliau dan telah berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Pentadbiran Malaysia
17 Mac 1988
Arkib Negara Malaysia
Image