Tuanku Abdul Rahman Putra - Negarawan Ulung

Ibarat kata pepatah Melayu "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Pada tarikh 6 Disember 2009 genaplah 19 tahun Tunku pulang ke rahmatullah. Namun, ingatan terhadap beliau tidak pernah luput malah sentiasa segar dalam kotak fikiran rakyat Malaysia.

Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang. Ketokohannya juga diakui oleh Tun Abdul Razak dalam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tunku di Dewan Rakyat pada Februari 1971. Beliau menyatakan bahawa Tunku telah muncul pada saat yang penting dalam sejarah perjuangan bangsa kita. Ini jelas terbukti warisan yang ditinggalkan Tunku dalam catatan sejarah negara.

Jika diselusuri sejarah perkembangan negara, Tunku adalah seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku - Bapa Kemerdekaan.

Setelah merdeka, Tunku yang mengetuai Kabinet telah membentuk strategi pembangunan jangka panjang dengan melaksanakan rancangan pembangunan negara bagi tempoh setiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama pada tahun 1956 – 1960. Rancangan pada peringkat awal lebih menjurus kepada pemulihan dan pembangunan untuk membina kemajuan negara. Rancangan pembangunan ini meliputi semua lapisan masyarakat berbilang kaum di bandar dan juga luar bandar.

Dalam aspek perpaduan, Tunku selaku pemimpin yang mewakili kepentingan orang Melayu, tidak sesekali mengenepikan kaum lain. Jelas perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini didasari oleh Perlembangan Tanah Melayu dan ia harus difahami oleh semua rakyat Malaysia. Sifat saling faham memahami amat penting dan ditekankan oleh Tunku agar rakyat dapat hidup dalam suasana muhibah dan harmoni.

Tunku juga dikatakan sebagai A Man of Peace. Kehadiran Tunku ke Rundingan Baling 1955 dengan wakil-wakil Parti Komunis Malaya memperlihatkan sifatnya yang cintakan kedamaian dan perpaduan. Meskipun gagal, Tunku dilihat tokoh pencinta kedamaian.

Kemerdekaan bukanlah noktah akhir medan Tunku memberikan sumbangan. Sebagai pemimpin yang berwawasan dan mementingkan keamanan sejagat, Tunku telah menggagaskan penubuhan Malaysia yang terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Walau banyak rintangan dan halangan terutama dari sahabat-sahabat negara jiran, pendekatan melalui rundingan dan diplomasi yang dipraktikkan oleh Tunku berjaya menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.

Ketokohan Tunku di arena antarabangsa turut dikagumi apabila beliau menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 yang kemudiannya berkembang dan dikenali sebagai ASEAN pada tahun 1967. Kehebatan Bapa Malaysia ini memang tidak dapat disangkal lagi dan telah menjulang nama negara di persada antarabangsa. Tunku juga banyak memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam di dalam dan juga luar negara. Beliau telah mengasaskan pertandingan membaca Al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun 1960 dan peringkat antarabangsa pada tahun 1961 yang telah menjadi tradisi sehingga kini. Tunku juga telah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) pada tahun 1960 sehingga peranannya dihormati oleh semua negara Islam.

Kredibiliti Tunku telah mendapat kepercayaan Al Malik Faisal yang menawarkan jawatan Setiausaha Agung Sekretariat Negara-Negara Islam yang pertama pada tahun 1970 yang di Jeddah. Beliau turut memainkan peranan besar dalam penubuhan Bank Pembangunan Dunia Islam pada tahun 1974 yang bertujuan untuk membantu negara-negara Islam yang miskin. Penglibatan Tunku dalam dunia Islam amat bermakna dan disanjung tinggi dalam menyatukan dan meningkatkan kualiti umat Islam sejagat. Kita juga perlu berbangga kerana kegigihan Tunku, beliau telah dilantik sebagai Presiden Pertama Regional Islamic Council For Southeast Asia and The Pacific (RISEAP) pada tahun 1980.

Tunku, putera raja yang berjiwa rakyat ini adalah seorang pejuang kemanusiaan. Beliau adalah di antara pemimpin negara yang menyahut permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar Malaysia menghantar misi pendamai dan keamanan di Conga yang dilanda perang saudara pada tahun 1961.

Tunku yang amat mementingkan kebajikan manusia telah memberikan keizinan kepada PERKIM Kedah Darul Aman menggunakan tanah kepunyannya seluas dua ekar di kawasan Perbandaran Kota Setar, Lorong Seri, Derga, Alor Setar untuk dibina rumah anak-anak yatim dan orang-orang tua yang miskin. Begitulah pengorbanan ikhlas Tunku dalam usaha menjaga kebajikan sesama manusia.

Ketokohan Tunku tidak hanya terserlah dalam bidang pentadbiran tetapi turut tersohor dalam bidang penulisan. Selepas bersara sebagai ahli politik beliau aktif menulis rencana dalam akhbar The Star di ruangan 'Looking Back' dan 'As I See It'. Selain dari itu, Tunku juga merupakan seorang yang  berbakat dalam seni dan budaya. Filem Raja Bersiong adalah hasil karya Tunku di samping Filem Mahsuri dan Sumpahan Mahsuri.

Dalam bidang sukan, Tunku amat meminati sukan bola sepak. Tidak hairanlah minat ini telah mendorong Tunku untuk mengasaskan Pesta Bola Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Justeru, sempena 19 tahun pemergian Tunku, Arkib Negara Malaysia sekali lagi mengadakan majlis tahlil khusus untuk mendoakan kesejahteraan Almarhum dan juga memperingati jasa dan sumbangan beliau. Sesungguhnya, negarawan ulung ini telah membina, mencorak dan membuka langkah untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya tidak hanya dari segi pembangunan malah kualiti rakyatnya.

Perpaduan adalah kunci kejayaan rakyat berbilang bangsa yang mewarnai Malaysia. Ia perlu terus disemai di bawah aspirasi 1Malaysia bagi memastikan kesinambungan warisan tinggalan Tunku dapat ditatap dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Bagi mengenali Tunku dengan lebih dekat serta untuk mengimbau kenangan jasa dan sumbangan beliau kepada negara, rakyat Malaysia digalakkan untuk melawat Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, yang terletak di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. Memorial ini dibuka percuma setiap hari kecuali hari Isnin.

Image