Pilihan Raya Umum Keempat Tahun 1974

Pembubaran Parlimen

31 Julai 1974, Parlimen Malaysia yang ketiga dan Dewan-dewan Undangan Negeri, kecuali di Sabah dibubarkan.Satu kenyataan telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menandatangani pengisytiharan pembubaran Parlimen.Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah dimaklumkan mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Tarikh bagi penamaan calon dan mengundi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya.- 31.7.1974

21 Simbol

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 Ogos 1974, mengumumkan 21 simbol yang akan digunakan oleh parti politik dan calon bebas dalam Pilihan Raya Umum kali keempat ini. Barisan Nasional menggunakan simbol dacing, Parti Kesatuan Insaf Tanah Air atau KITA akan menggunakan simbol Pokok Kelapa Sawit dan Parti Progresif Rakyat Bebas (PPP) menggunakan simbol Rumah Api. Lain-lain parti akan menggunakan simbol masing-masing iaitu Pekemas (Matahari terbit), DAP (roket), Parti Sosialis Rakyat Malaya (Benteng) dan SNAP menggunakan simbol perisai. Sembilan jenis simbol juga disediakan oleh SPR untuk calon bebas dan empat lagi simbol simpanan.Simbol-simbol calon bebas ialah bas, basikal, kapal terbang, anak kunci, dian (lilin), buku, wau dan kepala harimau.Empat lagi sebagai simbol simpanan untuk calon-calon bebas ialah motokar, lampu, lampu picit dan bunga.-  2.8.1974

Filem Rencana Khas Pilihan Raya

Sebuah filem rencana khas terbitan Filem Negara Malaysia dilaporkan akan ditayangkan sempena Pilihan Raya. Ketua Pengarah Penerangan, Encik Ahmad Nordin memaklumkan bahawa unit-unit penerangan bergerak akan menayangkan filem tersebut mulai hari penamaan calon pada 8 Ogos 1969. Filem yang akan ditayangkan ke seluruh negara itu menerangkan akan hak asasi bagi warganegara yang berumur lebih daripada 21 tahun dan pentingnya hak tersebut digunakan. Filem rencana itu juga akan menerangkan kepada orang ramai mengenai tatacara pembuangan undi yang betul dan perkara-perkara yang dilarang semasa pilihan raya bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar.  2.8.1974

Hebahan Pilihan Raya

Ketua Pengarah Penerangan, Encik Ahmad Nordin memaklumkan kepada Bernama pada 1 Ogos 1974 bahawa Jabatan Penerangan telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan akan menjalankan kempen menyedarkan para pengundi supaya keluar mengundi. Berjuta-juta risalah mengenai Pilihan Raya diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dengan persetujuan Suruhanjaya Pilihan raya untuk diedarkan kepada orang ramai mulai daripada hari penamaan calon.Sementara itu, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) telah mula menyiarkan lagu khas mengenai pembuangan undi.-  2.8.1974

Pengundi Pos

Seramai 45,000 pengundi pos akan mengundi calon-calon Parlimen dan Dewan Negeri melalui undi pos dalam pilihan raya keempat ini. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Encik Hassan Ibrahim memaklumkan, daripada jumlah itu 5,000 orang pengundi berada di luar negara manakala 40,000 lagi terdiri daripada pengundi dalam negara. Pengundi-pengundi yang berada di luar negara terdiri daripada pelajar, pegawai diplomatik Malaysia di luar negara dan pengundi yang telah berdaftar tetapi tidak dapat kembali mengundi.Sementara 40,000 pengundi pos dalam Negara pula terdiri daripada anggota tentera. Kertas-kertas undi pos akan dihantar pada 10 Ogos dan perlu dikembalikan dalam tempoh 15 hari. - 2.8.1974

Kerusi Menang Tanpa Bertanding

Sebaik sahaja penamaan calon ditutup pada tengah hari 8 Ogos 1974, Parti Barisan Nasional telah memenangi 90 kerusi tanpa bertanding.47 daripadanya merupakan kerusi Parlimen dan 43 lagi, kerusi Dewan Undangan Negeri. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, serta lapan orang Menteri Kerajaan Pusat antara calon-calon yang menang tanpa bertanding bagi kawasan Parlimen.  Ketua Menteri dan Menteri Besar yang menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri ialah Tun Datu Mustapha bin Datu Harun (Sabah), Haji Ghani Ali (Melaka), Datuk Haji Othman Saat (Johor) dan Dato' Syed Ahmad Shahabuddin (Kedah).  Manakala antara Menteri Kabinet yang menang tanpa bertanding ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie (Lipis); Menteri Kebajikan Am, Puan Hajah Aishah Ghani (Kuala Langat);Menteri Kerja Raya dan Tenaga, Datuk Abdul Ghani Gilong (Kinabalu)dan Menteri Tak Berjabatan yang juga Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Encik Mohd Khir Johari.  9.8.1974

Tun Razak Cipta Sejarah

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menempa sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang memenangi pilihan raya tanpa bertanding. Beliau telah diumumkan memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding selepas penamaan calon pada 8 Ogos 1974 ditutup pada jam 12.30 tengah hari. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pilihan Raya, Encik Mokhtar Awang. Kemenangan itu berikutan bekas pegawai kerajaan, Encik Zulkifli Haji Ahmad yang mengumumkan akan bertanding untuk menentang Tun Abdul Razak menarik diri di saat akhir atas sebab-sebab peribadi. Terdahulu daripada itu, Tun Abdul Razak yang berbaju batik lengan panjang diiringi oleh Toh Puan Rahah tiba di pejabat penamaan calon kira-kira jam 9.30 pagi bagi mengemukakan kertas pencalonan. 9.8.1974

Wanita Ditentang Oleh Lelaki

Kesemua calon wanita dalam Pilihan Raya 24 Ogos 1974 berlawan dengan calon lelaki kecuali Puan Hajah Aishah Ghani yang menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kuala Langat. Calon ini termasuklah 15 orang daripadaparti Barisan Nasional. Antara calon tersebut ialah Puan Salimah Haji Sallah yang ditentang oleh empat orang calon lelaki iaitu dua calon daripada Parti Bebas, dan masing-masing satu calon daripada parti DAP dan Pekemas untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri. Manakala calon wanita lain ialah Tengku Norasiah Tengku Ahmad, Wan Zainab Abu Bakar dan Datin Fatimah Abdul Majid, masing-masing akan bertanding dengan seorang calon lelaki untuk merebut kerusi Parlimen Tumpat, Sungai Petani dan Semerah.  9.8.1974

Pertarungan Keluarga

Pilihan Raya Umum Keempat juga menyaksikan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu satu di negeri Johor dan satu lagi di Terengganu sebagai perebutan kerusi antara keluarga. Di kawasan Dewan Undangan Negeri Endau, Johor, Calon Barisan Nasional, Encik Abdul Rahim Sabri, bekas ahli Parlimen Johor Timur (Sekarang Tenggaroh) ditentang oleh bapa saudaranya, Asmuni  Puteh, calon dari Pekemas. Manakala di kawasan Dewan Undangan Negeri Telemong, Terengganu menyaksikan pertarungan antara adik dan abang. Calon Barisan Nasional, Mohamad Saidi ditentang oleh abangnya Saleh Mohamad yang bertanding atas tiket Parti Sosialis Rakyat Malaya, dua orang calon bebas turut bertanding di kawasan ini. -  9.8.1974

Sambutan Bagai Pengantin

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn dan isteri Datin Suhaila Noh diberi sambutan bagai sepasang pengantin oleh penduduk Pekan Parit Raja, Batu Pahat, Johor semasa kunjungannya ke kawasan itu pada Jumaat, 9 Ogos 1974. Acara sambutan itulah adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan Datuk Hussein yang menang tanpa bertanding dalam kawasan Parlimen Sri Gading pada hari penamaan calon 8 Ogos 1974.Lebih 1,000 orang penduduk termasuk kumpulan kompang telah mengarak Datuk Hussein dan isteri melalui bandar Batu Pahat menuju ke rumah UMNO.Setiba di rumah UMNO, mereka ditabur dengan beras kunyit dan bunga, kemudiannya disandingkan bagi membolehkan penduduk menyaksikan pasangan yang diraikan itu.-  10.8.1974

Berkempen Dengan Lampu Picit

Berbekalkan lampu picit ditangan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada Selasa, 10 Ogos 1974, meredah kegelapan malam menemui pengundi-pengundi di kawasan Kepong, berkempen untuk membantu calon Barisan Nasional kawasan itu Dr. Tan Tiong Hon. Datuk Hussein, Dr. Tan dan para penyokongnya berkempen dari rumah ke rumah sambil meninjau keadaan kehidupan di kawasan tersebut. Menariknya lawatan Datuk Hussein itu turut diiringi oleh anak perempuan sulungnya, Cik Hanim yang merupakan seorang peguam.-  11.8.1974

Peluang Bercakap di Radio

Parti-parti politik terbesar telah diberi masa berucap melalui Radio Malaysia dalam Pilihan Raya Keempat ini. Parti Barisan Nasional diperuntukan masa selama 104 minit, manakala parti Pekemas, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya, masing-masing diberikan 13 minit. Siri-siri ucapan bermula dengan Tun Abdul Razak pada malam Isnin, 13 Ogos 1974. Manakala pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang diberi peluang berucap ialah dengan pemimpin MIC, Tan Sri V. Manickavasagam; pemimpin MCA, Datuk Lee San Choon; Timbalan Presiden Umno, Datuk Hussein Onn, Datuk Sri S.P Seenivasagam, Datuk Asri Haji Muda dan Dr. Lim Chong Eu. Ucapan itu dapat didengari melalui Rangkaian Nasional pada jam 7.15 malam; Rangkaian Biru, 7.02 malam; Rangkaian Hijau, 9.15 malam dan Rangkaian Merah, 8.32 malam. - 13.8.1974

Lagu "Mari Mengundi"

Akhbar Berita Harian, bertarikh 15 Ogos 1974, melaporkan lagu ‘Mari Mengundi' yang disiarkan di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bukan sahaja berjaya mengingatkan orang ramai tentang kewajipan mengundi, tetapi menjadi menjadi lagu kesukaan ramai. Ini kerana rentaknya menarik dan dinyanyikan oleh Surya Booty.Lagu berentak Calypso itu dicipta dan disusun senikatanya oleh Daud Hamzah.Lagu  ini digubah oleh Ahmad Shariff, Surya Booty dengan diiringi oleh pancaragam RTM.  12 lagu bertemakan undidicipta oleh RTM,khas untuk pilihan raya tahun 1974. Kesemua lagu tersebut kecuali ‘Mari Mengundi', dinyanyikan oleh penyanyi bercorak lagu-lagu kebangsaan, Jamaluddin Alias. – 15.8.1974

Penduduk Grik Dikawal

Penduduk dalam kawasan Gerik yang akan keluar mengundi pada 24 Ogos 1974, dilaporkan akan dikawal oleh Pasukan Anggota Keselamatan. Penduduk yang tinggal di pedalaman akan diangkut dengan lori-lori tentera yang dikawal rapi untuk di bawa ke tempat-tempat mengundi.Langkah tersebut dibuat agar penduduk dapat keluar mengundi dengan selamat berikutan daripada insiden keganasan pengganas komunis ke atas pekerja pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat.Tugas mengawal keselamatan ini tertumpu di kawasan Dewan Undangan Negeri Kenering yang menjadi medan pertarungan Menteri Pertanian dan Perikanan, Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi. - 23.8.1974

Hari Mengundi

Pilihan Raya Umum keempat pada 24 Ogos 1974, dilaporkan oleh akhbar berjalan dengan lancar dan aman apabila pengundian bermula pada pukul 8 pagi.Pengundian agak lembap pada sebelah pagi di seluruh negara kerana ramai pengundi keluar bekerja.Kebanyakan yang keluar mengundi pada waktu pagi ialah kaum ibu dan orang tua.  Tempat mengundi telah di tutup pada jam 8 malam dan ada beberapa tempat ditutup lebih awal daripada itu. Sejumlah empat juta pengundi telah keluar membuang undi di 3,000 pusat pengundian untuk memilih 107 calon bagi kerusi Parlimen dan 317 calon bagi Dewan Undangan Negeri. Seramai 1,267 orang calon telah mendaftar untuk bertanding pada penamaan calon, 8 Ogos 1974  dengan  seramai 939 orang calon bertanding untuk kawasan Dewan Negeri dan 328 orang calon untuk kerusi Parlimen. - 25.8.1974

Kereta Bawak Pengundi

Lebih 30,000 kereta termasuk teksi dan bas sekolah telah digunakan oleh parti-parti politik untuk membawa pengundi-pengundi ke pusat-pusat mengundi di seluruh Semanjung Malaysia mulai jam 8 pagi pada 24 Ogos 1974.Parti Barisan Nasional mengatasi lain-lain parti dengan menggerakkan kira-kira 20,000 buah kenderaan yang dipasang dengan bendera dan poster dacing bagi memberi perkhidmatan percuma kepada para pengundi. Parti-parti lawan Pekemas, DAP, PSRM, calon-calon bebas juga memasangkanbendera simbol masing-masing untuk memancing undi pada saat-saat akhir. Jurucakap Barisan Nasional menyatakan bahawa kesemua kereta yang digunakan merupakan perkhidmatan sukarela dari tuan-tuan punya sebagai langkah menyokong Barisan Nasional dan calon-calonnya.- 25.8.1974

Radio Rayu Keluar Mengundi

Melihat kepada keadaan peratusan yang keluar mengundi di antara 30 hingga 45 peratus sahaja di beberapa tempat di negeri Pulau Pinang, Penyelia Pilihan Raya negeri, Encik Ariffin bin Mohd Yassin terpaksa membuat rayuan kepada para pengundi supaya keluar untuk menunaikan hak mereka. Rayuan dibuat menerusi Radio Malaysia di Pulau Pinang pada jam empat petang. - 25.8.1974

Pengiraan Undi Kelam Kabut

Pengiraan undi bagi kawasan Parlimen Setapak diadakan bertempat di Sekolah Menengah Lelaki, Jalan Ampang, Kuala Lumpur menjadi kelam kabut, apabila bekalan elektrik terputus dari jam 8.45 hingga 10.15 malam. Keadaan itu memaksa, pegawai-pegawai pilihan raya menggunakan lampu picit, lampu minyak tanah dan lampu kereta. Atas sebab keselamatan peti-peti undi, polis mengawal orang-orang yang keluar masuk ke pusat tersebut, Kerja-kerja mengira undi di pusat itu dijalankan semula pada jam 10.30 malam, kira-kira 15 minit selepas bekalan elektrik di sambung semula. Menurut Lembaga Letrik Negara (LLN), bekalan terputus itu juga turut berlaku dibeberapa kawasan lain di bandar raya Kuala Lumpur termasuk Kampung Bharu. - 26.8.1974

Adik Rasyid Mydin Menang di Sungai Manik

Calon Barisan Nasional, Encik Mohd Yusof bin Mydin iaitu adik kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menang dalam pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Manik. Beliau memperolehi 5,931 undi iaitu dengan kelebihan 4,023 undi dari Encik Abdul Manaf dari DAP yang mendapat 1,908 undi dan Encik Abdul Latif bin Nasain dari (Pekemas) dengan 1,200 undi. Ketika mengulas kemenangannya Encik Mohd Yusof turut mengulangi rayuannya kepada abangnya Rashid Mydin supaya kembali ke pangkuan masyarakat, kerana anak-anak dan isterinya menunggu.- 26.8.1974

Barisan Menang Gilang-Gemilang

Parti Barisan Nasional dilaporkan oleh akhbar berjaya besar dalam Pilihan Raya Parlimen dan negeri-negeri di Semenajung Malaysia. Sebanyak 104 kerusi Parlimen dan 283 kerusi negeri di sapu bersih oleh Barian Nasional.Kemenangan ini menyebabkan 53 orang calon kerusi Parlimen dari Parti-parti lain dan bebas kehilangan wang pertaruhan.Barisan Nasional juga dilaporkan telah memperoleh kemenangan 100 peratus diperingkat negeri terutamanya di Pahang, Kelantan dan Perlis. Daripada 82 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Semanjung Malaysia, Barisan Nasional  mendapat kemenangan 72 atau 88 peratus. – 26.8.1974
Image