Pilihan Raya Umum Kedua Tahun 1964
Pengumuman Tarikh Mengundi
Pengumuman rasmi tarikh Pilihanraya Umum Kedua dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tuan Haji Mustapha Al-Bakri. Pengumuman dibuat setelah menerima notis pembubaran Dewan Negara dan Parlimen.Kenyataan itu berbunyi; "Setelah menimbangakan segala keadaan yang berlaku, maka Suruhanjaya PilihanRaya telah memutuskan bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 1964, Sabtu dan hari Mengundi pula ialah pada hari Sabtu, 25 April 1964. Tempat penamaan calon akan diumumkan dalam suatu notis pilihanraya yang akan diterbitkan dan disiarkan tidak lama lagi". Pilihanraya kali ini diadakan serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. – 3.3.1964
Rukun Kempen Pilihan Raya
Akhbar melaporkan bahawa semua pemimpin parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Kedua ini akan bersidang pada hari Sabtu, 4 April 1964. Sidang anjuran Suruhanjaya PilihanRaya ini bertujuan untuk mengesahkan ‘Rukun Kempen Pilihan Raya". Antara kandungan rukun ini ialah:
- Serangan peribadi mestilah dihindarkan
- Debat atas pentas depan orang ramai hendaklah dielakkan. Cabaran-cabaran tidak boleh dibuat untuknya. Parti-parti lawan hanya boleh menjawab pada pentasnya sendiri.
- Taktik membawa beramai-ramai penyokong dari luar kawasan pilihanraya hendaklah juga dihindarkan
- Jangan menggunakan kongsi-kongsi gelap untuk berkempen. --31.3.1964
Keputusan Pilihan Raya di Radio
Radio Malaysia di Kuala Lumpur dan Singapura dilaporkan akan menyiarkan keputusan-keputusan pilihanraya mulai jam 12 tengah malam, Ahad 25 April 1964. Siaran tersebut akan diteruskan sehingga pukul tiga atau empat pagi sehingga sesebuah parti mendapat suara majoriti. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Radio, Encik Dol Ramli. Keputusan Pilihanraya ini akandisiarkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil melalui saluran siaran masing-masing. Siaran ini dipancarkan melalui stesen radio di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.- 22.4.1964
Menunggang Gajah Jumpa Pengundi
Datin Hajah Fatimah binti Haji Hashim, Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya menunggang gajah keserata kampung di kawasan kempennya iaitu Jitra-Padang Terap.Sambutan paling meriah telah diberikan oleh penduduk ketika Datin Fatimah ke kampung Pring, Kodiang, kira-kira 20 batu dari Alor Setar. Beliau menunggang gajah dengan diiringi oleh tiga ekor gajah lain beserta dengan pukulan gendang dan tiupan serunai. Tibanya di Kampung Pring beliau disambut dengan Pencak Silat. Datin Fatimah menyifatkan pengalaman tersebut seperti ‘PengantinBaru' kerana menaiki gajah dengan iringan bunyi-bunyian. -23.4.1964
"Undilah Dengan Fikiran Jangan Dengan Nafsu"
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dato' Haji Mustapha Al-Bakri dalam siaran akhbar bertarikh Khamis, 23 April 1964, menyeru seluruh rakyat supaya mengundi dengan ‘fikiran dan pertimbangan' bukan dengan ‘nafsu atau perasaan'. Beliau juga menyeru supaya rakyat yang layak mengundi benar-bena rmenggunakan kesempatan mengundi pada 25 April nanti "..Jangan sampai ada yang tidak pergi mengundi, sebagai rakyat di negara demokrasi tiap-tiap orang layak mengundi wajib pergi mengundi'. "..seseorang pengundi hendaklah memikirkan masak-masak akan kesanggupan dan kelayakan calon yang hendak di undinya nanti'. Merupakan pesanan terakhir daripada beliau kepada semua pengundi. - 24.4.1964
Seruan Yang Di-Pertuan Agong
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail menyeru seluruh rakyat supaya memilih dengan bijak pada hari mengundi, Sabtu, 25 April 1964, agar kerajaan yang berkuasa kelak dapat memberi kemakmuran yang lebih besar kepada dan negara. Baginda menyampaikan seruan tersebut dalam titah selepas sembahyang sunat Hari Raya Haji bertempat di halaman Istana Negara pada Khamis, 23 April 1964.Terdahulu daripada itu, Seri Paduka Baginda telah menyatakan rasa bangga dengan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan sejak empat tahun sebelumnya.' – 24.4.1964
Soal Penting Pilihan Raya Umum 1964
Hari penamaan calon bagi Pilihanraya Umum Kedua diadakan pada 21 Mac 1964. Manakala tarikh pilihanraya pula ditetapkan pada 25 April 1964.Jarak waktu itu membolehkan parti yang bertanding berkempen dalam tempoh 35 hari.Parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya kedua ini ialah Perikatan, Sosialis Front, PAS, Parti Demokratik Bersatu (UDP), NEGARA, PPR, PETIR. Kelainan dalam pilihanraya kali ini berbanding sebelumnya ialah isu negara telah menjadi penentu. Isu tersebut ialah bahaya ancaman dari luar terhadap negara. Konfrantasi dan cita-cita Sukarno hendak menjajah Malaysia telah dikemukakan sebagai soal terbesar yang perlu diputuskan dalam pilihanraya ini.– 25.4.1964
Hari Mengundi
Pengundian pada 25 April 1964, dilaporkan berjalan dengan rancak dan tenteram. Hari mengundi ini telah jatuh tiga hari selepas umat Islam menyambut Hari Raya Haji. Rakyat telah keluar membuang undi mulai dari pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam. Seramai 276 orang calon bertanding merebut 102 kerusi Parlimen, manakala sejumlah 765 orang calon lagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri. Laporan akhbar juga menyatakan bahawa kaum wanita merupakan pengundi awal yang keluar membuang undi. – 26.4.1964
Kemeja Bertuah Tunku
Perdana Menteri,YTM Tunku Abdul Rahman Putra bersama isteri Puan Sharifah Rodziah mengundi di sekolah Cina Kampung Perak, Alor Setar, Kedah. Tunku memakai baju hawai, iaitu baju yang sama dipakai olehTunku sewaktu mengundi dalam pilihanraya umum tahun 1959. Kemeja hawai yang digelar ‘kemejabertuah' itu menunjukkan gambar kapal layar.-26.4.1964
Pusaka Demokrasi
Catatan akhbar Berita Harian, menyatakan bahawa Pilihanraya Umum Kedua ini berlangsung dalam keadaan negara sedang menghadapi ancaman luar negara. Keadaan ini dilihat telah mentabahkan hati dan jiwa rakyat untuk menjayakan pilihanraya kali ini, agar perlaksanaannya dapat diperlihatkan kepada dunia betapa rakyat negara ini mencintai demokrasi dan sanggup menentang penceroboh luar. Konfrantasi telah menyedarkan rakyat kepada pusaka yang mereka warisi,pusaka demokrasi seperti petikan kata Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, "Hendaknya pusaka itu diwarisi hingga kepada anak cucu kita di kemudian hari'. – 26.4.1964
Dua 'Fatimah' Berjaya
Pilihan Raya Umum Kedua ini menyaksikan seramai 21 orang calon wanita bertanding untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Seramai enam orang calon wanita telah bertanding merebut kerusi Parlimen. Daripada jumlah tersebut, hanya dua orang calon sahaja yang berjaya iaitu Datin Hajah Fatimah Hashim dan Datin Fatimah Haji A. Majid, kedua-duanya merupakan calon Parti Perikatan. Datin Hajah Fatimah Hashim bertanding yang bertanding di kawasan Jitra-Padang Terap mendapat 15,835 undi mengalahkan Lebai Isa Haji Mohd Mohd dari PAS dengan kelebihan sebanyak 9,730 undi. Manakala Datin Fatimah Haji A. Majid yang bertanding bagi kawasan Johor BahruTimur memperolehi 12,606 undi mengalahkan lawannya Puan Tan Ag Ngoh dari Parti Sosialis Front yang mendapat 5,343 undi dan Encik Mohd Noor bin Jetty dari parti PETIR yang hanya mendapat undi sebanyak 733. – 29.4.1964
Keputusan Pilihan Raya 1964
Parti Perikatan berjaya merebut 89 dari 104 kerusi Parlimen yang dipertandingkan serta mengekalkan penguasaan di 10 buah negeri. Daripada jumlah itu, empat negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah disapu bersih oleh Perikatan dalam kesemua kerusi yang dipertandingkan. Parti Perikatan juga berjaya memperolehi 1,200,000 undi daripada keseluruhan 2,100,000 jumlah undi.Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan bahawa Parti Perikatan memperoleh 57 peratus daripada keseluruhan undi. Jumlah ini menunjukkan pertambahan sebanyak lima peratus daripada keseluruhan undi yang diperolehi oleh Perikatan dalam Pilihanraya Umum tahun 1959. - 27.4.1964
