Persada Kegemilangan Bahasa Melayu
Banyak sekolah-sekolah Melayu juga dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata-kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.
Kedudukan utama bahasa Melayu ini disokong penulisan-penulisan oleh pegawai, pendita dan ahli sejarah Eropah lain seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Valentijn yang pernah melawat Melaka di awal abad ke-18 -
"Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri sebelah Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua-franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita tidak memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada itu, dan di sebelah timurnya sehingga ke Kepulauan Filipina. Dan jika sekiranya awak tidak mengetahui bahasa ini, awak dianggap sebagai seorang yang tidak terpelajar di Timur..."
Dari sini kita dapat melihat kedudukan penting bahasa Melayu se awal abad 16 hingga 18 di mana bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca atau bahasa perantaraan, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu.
Menurut Prof. Ismail Hussein dalam bukunya Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, bahasa Melayu merupakan salah satu dari 200 bahasa dalam Kepulauan Melayu. Walaupun pelbagai ragam, dialek dan bahasa daerah dipergunakan oleh masyarakat setempat apabila berhubung sesama mereka, namun apabila ada keperluan berhubung dengan orang luar, satu bahasa umum digunakan iaitu bahasa Melayu.
Kemungkinan kerana kesederhanaan sifat dan bentuk bahasa Melayu itu yang menjadikannya mudah diterima sehingga menjadi bahasa perantaraan yang popular dan penting di rantau Kepulauan Melayu. Kepentingan peranan bahasa Melayu di Alam Melayu ini turut diperkukuhkan oleh hasil-hasil karya dan kesusasteraan lama. Se awal 1380M, telah ditemui syair berbahasa Melayu terukir pada sebuah batu bersurat di Acheh.
Syair Melayu lain ditemui seperti Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri yang dipercayai syair tertua dikarang sekitar 1606-1636, Syair Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia dan Syair Ken Tambunan juga secara langsung menunjukkan kepada kita bahasa Melayu juga merupakan bahasa kesusasteraan yang sejak awal dipergunakan oleh rakyat di rantau ini.
Satu perkara yang perlu dinyatakan, bahasa Melayu juga merupakan bahasa perundangan yang utama. Ini kerana banyak naskhah perundangan lama bertulisan Melayu-jawi telah dihasilkan seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hukum-hukum Kanun Pahang, Perak dan Johor, Hukum Kanun Perhambaan, Selangor dan juga Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895M. Tetapi ramai orang sehingga kini masih mengagungkan bahasa Inggeris dan Perancis sebagai bahasa undang-undang yang utama.
Kalau kita lihat, banyak dokumen dan surat-surat penting seperti perjanjian, pajakan dan pemasyhuran ditulis dalam bahasa Melayu termasuk surat yang melibatkan penyerahan hak dan pemilikan ke atas negeri, jajahan dan daerah serta surat kurnia, surat akuan kebun, surat pajak gadai dan surat perjanjian jual-beli.
Perjanjian Pangkor 1874, perjanjian antara Temenggong Ibrahim dan Sultan Hussein Shah dengan Stamford Raffles berkaitan Singapura pada tahun 1818M dan 1819M serta pelbagai perjanjian lagi yang ditandatangani di antara British, Belanda atau syarikat persendirian dengan raja-raja Melayu bukan sahaja di Semenanjung malah juga di Sabah, Sarawak dan Brunei juga dibuat dalam tulisan Melayu-jawi.
Surat-surat lama yang ditulis sekitar abad ke-17 di antara pemerintah Acheh, Jambi dan Brunei dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Britain dan Belanda juga bertulisan Melayu-jawi. Ini termasuk surat kiriman daripada Sultan Ternate, Maluku kepada Raja Portugis bertarikh 1521 dan 1522M. Gabenor dan Residen-residen British dalam pentadbiran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu terpaksa menggunakan khidmat penulis Melayu untuk berhubung dengan raja-raja Melayu.
Ribuan lagi manuskrip lama bertulisan Melayu-jawi yang berada dalam simpanan institusi-institusi dalam dan luar negara. Sumber-sumber ini akan dapat menjelaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, perantaraan dan juga perundangan.
Dalam pada itu, bahasa Melayu juga memiliki keistimewaan dan keindahan tersendiri. Di dalamnya ada bahasa istana, bahasa halus, bahasa kiasan, bahasa sastera, bahasa persuratan serta pelbagai loghat kedaerahan. Bahasa istana diguna oleh rakyat apabila berbicara dengan raja. Bahasa halus diguna bagi menjaga adab, keharmonian dan status penuturnya.

Bahasa persuratannya pula boleh berbeza bergantung kepada mesej yang hendak disampaikan atau kepada siapa surat tersebut ditujukan. Jika sesama raja, gaya penulisan bahasanya penuh hormat dan beradab. Jika berhubung dengan pihak British, gaya penulisan bahasanya lebih ringkas dan secara langsung. Jika menulis kepada raja negara luar seperti Siam, bahasanya lebih tersusun dan teliti.
Ada satu peristiwa di mana raja Siam menerima surat daripada Sultan Mansor Shah Melaka. Kerana tertarik kepada keteraturan susunan dan bunyi bahasa yang diguna, raja Siam terus bertanya siapa yang mengarang surat tersebut. Sebenarnya di sebalik penggunaan kata-kata dan keindahan bahasa surat karangan Bendahara Tun Perak itu terselit mesej diplomasi yang bijak iaitu untuk memelihara hubungan Melaka dan Siam, sebuah negara yang kuat pengaruhnya pada masa itu.
Keindahan bahasa dan gaya penulisan yang pelbagai juga tergambar dalam koleksi surat-surat lama raja Melayu yang berada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia. Yang paling terkenal dalam kalangan koleksi ini ialah surat-surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Kedah. Kumpulan surat yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai koleksi agung warisan dunia ini bertulisan Melayu-jawi.
Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu nyata mencapai kedudukan yang penting dengan berfungsi sebagai bahasa pentadbiran selain bahasa perantaraan, perundangan dan kesusasteraan. Semasa penjajahan British bermula di awal abad ke-19, kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan perantaraan diteruskan.
Rekod-rekod kita memperihalkan tentang bagaimana pegawai-pegawai British yang berkhidmat di bawah kerajaan Negeri-negeri Selat di Tanah Melayu dikehendakki lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan atau kenaikan pangkat mereka.
Kewajiban menduduki ujian bahasa Melayu ini telah diwartakan dalam Straits Government Gazette bertarikh 4 November 1859 di mana calon mestilah boleh membaca dan menterjemahkan satu petikan dari buku Sejarah Melayu dan bertutur mengenai sesuatu topik serta menulis dalam bahasa Melayu.
Dalam perkembangan berikutnya, ujian ini diperluaskan kepada pengetahuan mengenai perbendaharaan kata-kata, penggunaan tatabahasa yang betul dan kebolehan menterjemahkan ayat dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Markah peperiksaan mereka direkodkan dalam fail.
Dari satu cabutan fail pada tahun 1932, terdapat peraturan di mana ketua jururawat yang datang dari luar juga dikehendakki lulus peperiksaan bahasa Melayu dalam tempoh 18 bulan selepas tiba di Tanah Melayu. Oleh itu, tidak hairan bagi mana-mana pegawai luar yang baru tiba ke Tanah Melayu akan meminta khidmat guru untuk mengajar mereka bahasa Melayu. Yuran tuisyen mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Sememangnya pembelajaran bahasa Melayu pada ketika ini adalah untuk memudahkan mereka berhubung dan memberi arahan kepada orang-orang tempatan. Jika mereka langsung tidak tahu bahasa Melayu, mereka akan menghadapi masalah.
Namun begitu, sejarah juga tidak menafikan cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu. Penjajah akan tetap mengutamakan bahasa mereka. Kita dapat lihat dalam perkembangan berikutnya bagaimana bahasa Inggeris diserapkan dalam urusan-urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.
Pada masa yang sama, penggunaan tulisan Melayu-rumi yang diertikan sebagai Romanised Malay diperkenalkan dan semakin berkembang pesat dalam bidang pentadbiran dan pendidikan. Ia kian beransur menggantikan tulisan Melayu-jawi.
Usaha mengembangkan bahasa Melayu bermula dengan penubuhan Lembaga Bahasa Melayu pada tahun 1950. Dr. Burhanuddin Helmi dan Buyung Adil adalah antara ahli Jawatankuasa Lembaga ini. Di awal 1950an, Majlis-majlis Negeri membuat ketetapan dan arahan-arahan mula dikeluarkan oleh Pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung penggunaan bahasa Melayu. Beberapa parti politik turut menggesa agar bahasa Melayu diguna sebagai bahasa rasmi.
Suara lantang bergema dalam Kongres-kongres Bahasa dan Persuratan Melayu lalu menggerakkan usaha padu bagi menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Kegigihan terlihat dalam penghasilan Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 dikenali sebagai Laporan Barnes, Laporan Razak 1956 serta Ordinan Pelajaran 1957 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
Pada ketika ini juga Dewan Bahasa dan Pustaka serta Maktab Perguruan Bahasa ditubuhkan. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, termaktublah dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Penyata Rahman Talib 1960 disusuli penggubalan Akta Pelajaran 1961 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan 1967 memperteguhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Juga Akta Pelajaran 1972 dan 1996.
Semua keputusan atau perundangan yang digubal ini tidak lain tidak bukan, bertujuan untuk membentuk identiti kebangsaan dan menjalin perpaduan erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama yang semakin meningkat bilangannya di negara ini. Kemurnian hasrat yang tersirat ini harus difahami dan diterima oleh semua pihak.
Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan tunjang perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini dan sebagai pengikat perpaduan di antara negara-negara serantau yang sama-sama berkongsi sejarah, budaya, seni dan peradaban bangsa.
