50 Tahun Tamat Darurat

31 Julai 1960, pada tarikh inilah 50 tahun yang lalu, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin berkenan mengisytiharkan penamatan Darurat menentang komunis. Darurat menentang komunis telah diisytiharkan secara berperingkat-peringkat di negara ini pada bulan Jun 1948. Pengisytiharan penamatan darurat ini telah disambut dengan rasa penuh kesyukuran oleh seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu tanda kemenangan berakhirnya zaman keperitan selama 12 tahun. Pengisytiharan ini dicapai selepas tiga tahun, lima bulan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Hasrat untuk menamatkan darurat dengan rasminya pada 31 Julai 1960 dan memansuhkan segala undang-undang darurat yang telah berjalan semenjak bulan Jun 1948, telah disuarakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin ketika bertitah pada pembukaan Persidangan Kedua Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 19 April 1960.

" Dengan kejayaan2-nya dalam usaha menghapuskan dzarurat itu maka dapat-lah Kerajaan Beta menjalankan dasar2 kemajuan. Oleh sebab usaha menentang Dzarurat itu sangat berhasil maka Kerajaan Beta bercadang akan mengishtiharkan Dzarurat ini tamat pada 31 haribulan July dan pada masa itu memansokhkan Undang2 Dzarurat."

Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah bersempena dengan pembukaan penggal kedua bagi Parlimen yang pertama pada 19 April 1960.

Lanjutan daripada itu satu perbarisan Tamat Darurat telah diadakan di Padang kelab Selangor pada 1 Ogos 1960 melibatkan penyertaan semua unit bersenjata Persekutuan Tanah Melayu. Dalam upacara perbarisan besar-besaran ini kira-kira enam ribu orang pegawai dan anggota daripada semua pasukan bersenjata termasuklah Home Guard dan bekas anggota polis khas serta 400 buah kenderaan, 70 buah kapal terbang dan lima pasukan tempur telah mengambil bahagian.  Pengisytiharan tamat darurat ini dianggap sebagai hari kemenangan kepada seluruh rakyat di Tanah Melayu yang dicapai dengan kerjasama rakyat, pasukan bersenjata Persekutuan dan Pasukan Tentera Komanwel.

Dalam titah pengisytiharan tamat darurat pada 31 Julai 1960, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah menyatakan rasa kesyukuran kerana zaman gelap selama 12 tahun yang terpaksa dilalui oleh seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu telah  berakhir.

Kerajaan juga telah mengambil dan memperkenalkan beberapa strategi untuk membendung dan melemahkan kegiatan komunis seperti penubuhan Jawatankuasa Perang, Penubuhan Kampung-kampung baru di bawah Rancangan Briggs, Kempen Bulan Rakyat Melawan Penjahat, Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan dan Kad Pengenalan Diri, melancarkan Perang Saraf, Konsep Kawasan Putih serta melancarkan tawaran pengampunan melalui radio, suratkhabar dan penyebaran risalah dari udara.  Selain daripada strategi tersebut Pasukan Keselamatan diperkukuhkan dengan penubuhan Pasukan Keselamatan Melayu, Pasukan Polis Hutan ‘Police Field Force', Mata-Mata Khas-SC ‘Special Constable', Polis Bantuan ‘Auxiliary Police', Polis Cawangan Khas ‘Special Branch' dan ‘Home Guard'.

Pada 9 September 1955, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan tawaran pengampunan kepada komunis. Sebanyak 12 juta risalah tawaran pengampunan kepada komunis telah diedar ke seluruh Tanah Melayu, menyeru komunis menyerah diri kepada pihak berkuasa. Kempen selama lima bulan iaitu sehingga 8 Februari 1956 ini telah menarik seramai 73 orang komunis dan 12 orang penyokongnya menyerah diri kepada kerajaan. Kemuncak kepada usaha kerajaan untuk mengatasi pemberontakan bersenjata komunis ialah dengan mengadakan rundingan dengan PKM. Rundingan yang diadakan dalam empat sesi selama dua hari ini telah diadakan di Sekolah Kerajaan, Baling, Kedah (kini Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) pada 28 hingga 29 Disember 1955.  Pihak kerajaan diwakili oleh Ketua  Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura,  Encik  David  Marshall  serta   Dato'  Sir  Tan  Cheng  Lock.  Manakala PKM diwakili  oleh  Chin  Peng  selaku  Setiausaha  Agung  PKM, bersama  dengan  Chen Tian dan Abdul Rashid  Maidin. Namun begitu rundingan ini berakhir dengan tanpa mencapai kejayaan. Pada 3 September 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra melancarkan satu lagi tawaran pengampunan baru iaitu Tawaran Pengampunan Merdeka kepada komunis selama lapan bulan.

Walaupun Darurat dapat ditamatkan pada 31 Julai 1960, namun saki baki anggota PKM yang masih ada belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Saki baki anggota ini berundur ke sempadan Malaysia -Thailand. Berikutan itu juga pada 29 Julai 1960, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah menandatangani pemasyhuran untuk memerangi pengganas komunis di sepanjang sempadan Siam-Malaya hingga bersih berkuatkuasa selepas Hari Kemenangan pada 1 Ogos 1960. Penguatkuasaan pemasyhuran ini terkandung dalam Undang-Undang keselamatan Dalam Negeri 1960, yang diluluskan oleh Parlimen tentang ketentuan daerah-daerah keselamatan sempadan. Daerah-daerah ini  meliputi bahagian timur dari Perlis dan Kedah, daerah Ulu Perak dan bahagian Ulu Barat kelantan.

Saki baki komunis yang berundur ke sempadan Malaysia-Thailand ini telah mengumpul semula kekuatan dan melancarkan serangan yang membawa kepada berlakunya Darurat kedua di Malaysia pada tahun 1968 hingga 1978. Pada 2 Disember 1989, satu perjanjian Damai telah dimeterai di antara PKM dengan Pihak Kerajaan Malaysia dan PKM dengan kerajaan Thailand. Melalui Perjanjian Perletakan Senjata atau Perjanjian Haadyai ini PKM telah diharamkan dan tamatlah perjuangan komunis secara rasmi.

Sesungguhnya Darurat dan keganasan komunis bukan sahaja mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada penduduk malah menjejaskan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial. Masalah ini juga telah meningkatkan lagi beban perbelanjaan kerajaan, sepanjang tahun 1948-1960, Kerajaan terpaksa membelanja sejumlah peruntukan yang besar dianggarkan berjumlah RM1,300 juta bagi pembiayaan menghadapi Darurat. Beribu-ribu penduduk yang tidak berdosa terpaksa meninggalkan kampung halaman berpindah ke kawasan yang disediakan oleh kerajaan. Peperangan selama 12 tahun ini juga telah menyebabkan beribu-ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban termasuklah perajurit-perajurit negara yang gugur dalam mempertahankan tanahair daripada pencabulan dan pencerobohan musuh.

Image
Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di majlis menandatangani Surat Pengisytiharan Penamatan Darurat di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1960.
Image
Kontinjen Royal Malaysia Air Force (RMAF) sedang lintas hormat di hadapan pentas utama sempena Perbarisan Tamat Darurat pada 1 Ogos 1960, yang diadakan di hadapan bangunan Sekretariat, Ibu Kota Persekutuan, Kuala Lumpur.
Image
Orang awam yang menjadi mangsa keganasan dan kezaliman komunis.
Image
Pengangkutan awam juga menjadi sasaran serangan komunis bertujuan untuk melumpuhkan sistem ekonomi negara.
Image
Polis Bantuan (Auxiliary Police) negeri Perak.
Image
Pasukan Home Guard, Hulu Langat, Selangor.
Image